Orang ramai berbondong-bondong datang ke Istana seawal 8.30 pagi pada 2 Februari bagi Rumah Terbuka Istana sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Hingga Rumah Terbuka itu tamat pada 6 petang, seramai 18,200 orang hadir di majlis meriah lagi berwarna-warni itu.
Antara sebab mereka begitu teruja ke Istana adalah bagi merakam kenangan bersama Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isterinya, Puan Jane Ittogi, yang menjadi tuan rumah sempena Rumah Terbuka Istana itu.
Tuan Presiden dan Puan Ittogi pula ramah menyambut tetamu di samping memenuhi permintaan bergambar.
Pengunjung turut menikmati hiburan yang disajikan, menikmati makanan yang terjual di trak makanan dan reruai yang disediakan, mencuba sukan yang dipertandingkan dalam acara Sukan Paralimpik buat atlet istimewa seperti boccia, bola tampar (sambil duduk) serta bola sepak (dengan mata tertutup).
Ada juga yang hadir bagi meninjau pekarangan dan melihat seni bina Istana sambil merakam foto kenangan untuk dimuatnaikkan ke media sosial.
Di bangunan utama Istana, pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat koleksi hadiah negara yang diberi kepada pemimpin Singapura sebelum ini, di samping meninjau beberapa bilik acara khas tertentu.
Pengunjung juga dihiburkan dengan siri persembahan muzikal dan tarian yang disajikan Sekolah Bakat Muda Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), Maktab Seni Lasalle-Universiti Seni Singapura (UAS), Nam Wah Opera, Pasukan Polis Singapura (SPF) dan U Live (NTUC).
Beberapa permainan zaman silam seperti batu seremban juga tersedia untuk mengembalikan nostalgia keseronokan kehidupan masa lalu.
Tiada bayaran dikenakan bagi warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) Singapura serta penjaga mereka yang ingin memasuki ruang Istana.
Semua hasil sumbangan orang ramai yang memasuki pekarangan Istana, bayaran sesi jelajah ke bangunan utama Istana, serta jualan cenderahati Cabaran Presiden di reruai khusus akan disalurkan kepada badan amal yang disokong Cabaran Presiden.
Hasil daripada jualan amal reruai agensi perkhidmatan sosial (SSA) pula akan disalurkan kepada agensi masing-masing.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg