Peluasan M³+ cermin anjakan strategik, iktiraf kekuatan kolektif masyarakat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peluasan M³+ cermin anjakan strategik, iktiraf kekuatan kolektif masyarakat

Badan Melayu/Islam sambut baik pendekatan baru, serlah langkah ke arah keterangkuman demi perkasa masyarakat
Mar 23, 2026 | 5:41 PM

Peluasan M³+ cermin anjakan strategik, iktiraf kekuatan kolektif masyarakat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kiri), dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS, Cik Aidaroyani Adam (dua dari kanan) mengagihkan biskut perayaan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kiri), dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS, Cik Aidaroyani Adam (dua dari kanan) mengagihkan biskut perayaan menjelang Hari Raya Aidilfitri. - Foto PPIS

Langkah menjenamakan semula dan meluaskan inisiatif M Kuasa Tiga (M³) kepada M³+ disambut baik oleh badan-badan Melayu/Islam (MMO) dan kumpulan tidak rasmi setempat sebagai satu anjakan strategik yang amat positif dan tepat pada masanya.

Pendekatan itu dilihat, bukan sahaja sebagai perubahan nama, malah satu pengiktirafan rasmi terhadap kekuatan kolektif seluruh ekosistem masyarakat melangkaui usaha badan-badan teras M³, kata mereka ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Namun, di sebalik usaha meluaskan daya usaha itu, ada juga yang berkata terdapat ruang untuk penambahbaikan agar mereka dapat kejelasan tentang skop, sumber dan dana yang dapat mereka manfaatkan dalam kerjasama yang dipertingkat itu.

Pendekatan lebih terangkum, kolaboratif

Pengerusi Casa Raudha, Cik Shahrany Hassan, menyifatkan peralihan M³ kepada M³+ sebagai cerminan kepada realiti di lapangan, di mana kerja kemasyarakatan hari ini melibatkan banyak pihak, bukan sekadar beberapa organisasi teras.

Dengan membuka wadah tu kepada MMO, badan India/Islam (IMO), kumpulan tidak rasmi dan penyumbang individu, beliau berkata M³+ mengakui bahawa idea bernas dan sumbangan bermakna boleh datang daripada pelbagai sumber.

“Tanda ‘plus’ itu memberi isyarat kepada pendekatan yang lebih kolaboratif dan terbuka, yang akan memperkukuh cara masyarakat bekerjasama untuk menangani pelbagai keperluan.

“Akhirnya, kalau kita dapat menyatukan lebih banyak kumpulan dan perspektif yang berbeza, lebih berkesanlah usaha kolektif kita,” kata Cik Shahrany.

Bersependapat, Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid, menekankan bahawa pengukuhan hubungan antara institusi akan membolehkan setiap pihak melengkapi satu sama lain dengan lebih berkesan.

Menurutnya, penyertaan yang lebih luas akan meningkatkan kesan program melalui campur tangan yang lebih tepat pada masanya, khusus bagi menangani cabaran masyarakat yang kompleks.

“Kami berharap dapat memanfaatkan platform M³+ untuk menyumbang dengan lebih aktif dalam perbincangan mengenai isu-isu baru yang mempengaruhi masyarakat Melayu/Islam.

“Platform ini juga berpotensi menyediakan peluang untuk organisasi berkongsi pandangan dan penyelidikan, memperkukuh impak kolektif kita, dan menambah baik cara program direka bentuk dan disampaikan kepada masyarakat,” kata Encik Mohksin.

Dari M³ kepada M³+

Dibentuk pada 2019, M³ merupakan satu usaha kerjasama antara tiga institusi masyarakat utama – Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra).

Tumpuannya adalah untuk menggalakkan individu dan badan masyarakat agar tampil, menggembleng usaha pemerintah dan masyarakat bagi membantu dan memacu program kemasyarakatan yang lebih kesan.

Semasa berucap di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) pada 5 Mac, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mengumumkan bahawa inisiatif tersebut akan diperluaskan.

Di bawah penjenamaan baru sebagai M³+, Mendaki, Muis dan PA Mesra akan meningkatkan kerjasama dengan MMO, IMO dan kumpulan tidak rasmi, untuk melakar program dan memberi khidmat yang lebih berkesan kepada masyarakat.

Di peringkat nasional, M³+ akan menyaksikan badan-badan pemerintah dan masyarakat merancang dan melakar strategi bagi lima bidang tumpuan di bawah M³.

Di peringkat masyarakat pula, kesemua 12 M³@Bandar di serata negara juga akan bekerjasama dengan MMO, IMO dan kumpulan tidak rasmi lain untuk mendekati penduduk dan melaksanakan program melalui penyertaan masyarakat.

Ketika dihubungi BH, jurucakap PA berkata pihaknya – yang melibatkan usaha PA Mesra dan M³@Bandar – belum bersedia untuk berkongsi rancangan M³+ dan akan mengumumkan lebih lanjut pada masa terdekat.

MMO pergiat usaha awal

Meskipun perincian tentang inisiatif M³+ belum lagi diumumkan, beberapa MMO memberitahu BH, mereka sudah mula membuat perancangan awal untuk memanfaatkan rangkaian tersebut.

PPIS berhasrat untuk menyepadukan sokongan keluarga mereka secara menyeluruh ‘dari hujung ke hujung’ ke dalam kerangka M³+ supaya setiap keluarga dapat rasai “satu laluan penyelarasan yang lancar”.

Presiden PPIS, Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim, merancang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi di bawah M³+ dalam bidang pendidikan, kesihatan masyarakat dan pekerjaan, bagi membantu wanita dan keluarga dengan lebih pantas.

Selain itu, PPIS juga akan memainkan peranan dalam pembinaan kapasiti melalui latihan berstruktur mengenai triaj bantuan awal dan laluan rujukan bagi pekerja barisan hadapan dan sukarelawan masyarakat.

Persatuan Muhammadiyah pula berhasrat menggunakan kerangka M³+ untuk menyelaraskan usaha mereka dengan matlamat nasional secara lebih berkesan.

Antara tumpuan utama mereka adalah untuk merapatkan jurang perkhidmatan bagi memastikan program mereka sampai kepada golongan yang paling memerlukan.

Bagi Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) pula, ia berhasrat memperkukuh sokongan bagi keluarga yang menghadapi cabaran bertindih dengan menyelaraskan usaha bersama agensi di bawah Bidang Tumpuan 2 M³+.

Di bawah Bidang Tumpuan 3 pula, Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain berkata organisasinya akan menumpukan kepada usaha pementoran dan pembangunan belia secara berstruktur.

“Satu bidang konkrit yang ingin dimajukan oleh 4PM adalah kerja pencegahan huluan yang lebih kukuh untuk belia yang mungkin berisiko melakukan kesalahan.

“Ini akan dibina berdasarkan peranan 4PM sebagai peneraju bersama kumpulan projek antara MMO dengan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA),” kata Encik Nassar.

Pertapis pula merancang memanfaatkan wadah M³+ dengan memperkukuh perkongsian bersama MMO, kumpulan masyarakat, dan agensi pemerintah bagi menyampaikan sokongan yang lebih menyeluruh kepada individu serta keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz, memberi contoh projek Ramadan Kasih, sebuah usaha sama anjuran 12 MMO dan syarikat Grab pada 8 Februari.

Inisiatif tersebut, katanya, mencerminkan semangat kerjasama di mana ia menggunakan model perkongsian sumber dengan memanfaatkan kawasan Pertapis, pejabat MMO dan Wisma Geylang Serai sebagai pusat pembungkusan serta pengedaran.

“Program ini memastikan 2,500 penerima bantuan menerima barangan runcit penting untuk membantu mereka membuat persediaan dan menyambut Ramadan dengan penuh maruah dan ketenangan fikiran,” kata Encik Firdaus.

Ruang penambahbaikan

Dalam pada itu, meskipun peluasan M³+ telah disambut baik, beberapa pertubuhan berkata masih ada ruang untuk peningkatan bagi memastikan platform tersebut benar-benar berfungsi dengan berkesan.

Pengasas Bersama Membina Community, Cik Husna Hussain, berkata salah satu aspek penting yang perlu ditekankan dalam M³+ adalah pengukuhan perkongsian amalan terbaik yang lebih erat antara badan masyarakat.

Beliau berkata langkah ini penting supaya pengajaran daripada pelbagai agensi dapat dikongsi dengan lebih terbuka dan direplikasi untuk memberi manfaat kepada lebih ramai belia dan keluarga di seluruh masyarakat.

“Saya percaya kerja-kerja kemasyarakatan hari ini tidak boleh dilakukan secara bersendirian, ia memerlukan kekuatan kolektif agensi, organisasi dan individu yang bekerjasama untuk menyara keluarga kita dan generasi akan datang.

“Kami berharap platform seperti M³+ dapat mewujudkan ruang untuk agensi, organisasi masyarakat dan individu bergerak bersama dengan tujuan bersama, untuk memartabatkan masyarakat Melayu/Islam,” kata Cik Husna.

Presiden MudaSG, Cik Sherlita Almeyra Sherhan, menekankan perlunya kejelasan mengenai bentuk sokongan dan sumber ketara yang akan disediakan oleh M³+ kepada kumpulan tidak rasmi

Beliau turut mengusulkan agar penyelarasan sumber diperluas kepada aspek logistik dan ruang fizikal, memberi contoh bagaimana masjid tempatan juga boleh membuka ruang untuk menyokong kegiatan sukarelawan oleh kumpulan tidak rasmi seperti MudaSG.

“Saya berminat untuk mengetahui apakah sebenarnya bentuk sokongan dan sumber nyata yang akan disediakan oleh M³+.

“Saya fikir adalah baik untuk mengetahui sama ada terdapat dana lain yang boleh dimanfaatkan oleh kumpulan tidak rasmi untuk mengusahakan bersama dengan kumpulan ‘plus’ ataupun dengan agensi M³ secara langsung,” kata Cik Sherlita.

Antara projek yang ingin diperluaskan MMO di bawah M³+

  1. Program Pencegahan Huluan Belia: 4PM ingin beri tumpuan pada usaha pengukuhan kerja pencegahan awal bagi belia yang berisiko melakukan kesalahan, melalui dampingan positif dan campur tangan tepat pada masanya.
  2. Simposium Keluarga Tahunan: Casa Raudha ingin kerjasama dengan pemimpin masjid dan agensi masyarakat bagi promosikan hubungan keluarga sihat, daya tahan dan tangani cabaran sosial seperti keganasan rumah tangga.
  3. Inisiatif Bank Masyarakat: Muhammadiyah ingin pertingkat sistem sokongan mampan dalam agihan barangan keperluan dan pendidikan, termasuk penggunaan mesin layan diri agar mudahkan akses bantuan kepada golongan memerlukan.
  4. Latihan Kapasiti dan Laluan Rujukan: PPIS ingin perkukuh penyampaian latihan berstruktur mengenai penyaringan bantuan awal untuk bina bahasa amalan seragam dalam kalangan pekerja sosial, asatizah, dan sukarelawan, sambil pertingkat akses bagi keluarga memerlukan kepada program yang disediakan.
  5. Program Belajar Bersama: MudaSG ingin luaskan khidmat tuisyen sukarela peribadi atau dalam kumpulan yang dikendalikan oleh belia mahir dalam bahasa Melayu bagi bantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Kami berharap dapat menyepadukan sokongan keluarga menyeluruh kami ke dalam M³+, supaya keluarga melalui satu laluan yang diselaraskan. Daripada sokongan praperkahwinan dan keibubapaan kepada penyelesaian konflik, kepada integrasi semula untuk wanita, PPIS akan mereka bentuk bersama rakan kongsi dalam pendidikan, kesihatan masyarakat dan pekerjaan.”
Presiden PPIS, Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim.

“Tanda ‘plus’ itu memberi isyarat kepada pendekatan yang lebih kolaboratif dan terbuka, yang akan memperkukuh cara masyarakat bekerjasama untuk menangani pelbagai keperluan. Akhirnya, kalau kita dapat menyatukan lebih banyak kumpulan dan perspektif yang berbeza, lebih berkesanlah usaha kolektif kita.”
Pengerusi Casa Raudha, Cik Shahrany Hassan.

“Kami berharap dapat memanfaatkan platform M³+ untuk menyumbang dengan lebih aktif dalam perbincangan mengenai isu-isu baru yang mempengaruhi masyarakat Melayu/Islam. Platform ini juga berpotensi menyediakan peluang untuk organisasi berkongsi pandangan dan penyelidikan, memperkukuh impak kolektif kita, dan menambah baik cara program direka bentuk dan disampaikan kepada masyarakat.”
Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid.

“Perpindahan ke M³+ menandakan platform yang lebih inklusif di mana badan Melayu/Islam (MMO) yang mantap, badan India/Islam (IMO), kumpulan tidak rasmi dan individu boleh bersatu untuk menyumbangkan kekuatan dan kepakaran mereka. Melalui M³+, kami melihat peluang yang lebih besar untuk mengembangkan perkongsian ini, melibatkan lebih ramai sukarelawan dan kumpulan masyarakat, dan mendekati penerima bantuan dengan lebih berkesan.”
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg