Lebih daripada sekadar akademik atau kebendaan, konsep kejayaan dalam dunia yang pesat berubah ini semakin berkembang.
Anjakan pemikiran ini juga dicerminkan dalam visi negara yang dibentangkan menerusi gerakan Melakar Hala Tuju Singapura, yang menekankan bahawa rakyat Singapura kini memburu tujuan dan impian yang berbeza-beza.
Justeru, sistem pendidikan Singapura telah berkembang untuk menyediakan laluan yang pelbagai, membolehkan setiap individu meneroka potensi mereka berdasarkan minat, keupayaan dan aspirasi masing-masing, menurut Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamed Maliki Osman.
Ini dapat dilihat melalui pelbagai langkah yang diambil di peringkat awal persekolahan, jelas Dr Maliki dalam satu temu ramah bersama Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Contohnya, di peringkat sekolah rendah dan menengah, kaedah pembelajaran akademik dan penghafalan tidak lagi diberi penekanan.
Sebaliknya, para pelajar berpeluang meraih ilmu di luar bilik darjah menerusi program seperti Program Pembelajaran Gunaan (ALP) yang diperkenal pada 2014.
Di bawah program ALP, pihak sekolah boleh mengatur pelbagai kegiatan bagi membantu para pelajar menerapkan ilmu pengetahuan mereka dalam konteks semasa. Sebagai contoh, pelajar diberikan pendedahan kepada alam sekitar menerusi pelbagai kegiatan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga, Kementerian Pendidikan (MOE) telah memperkenal gerakan Belajar Sepanjang Hayat untuk memupuk sikap yakin dan berdaya tahan dalam diri pelajar.
Di bawah gerakan ini, peperiksaan pertengahan tahun ditiadakan bagi memberi guru lebih banyak masa untuk melakar pelbagai kaedah pembelajaran buat pelajar.
Ini membuka peluang kepada pelajar untuk meneroka minat dan mengasah kekuatan mereka.
“Kami ingin membina perwatakan dan keupayaan para pelajar supaya mereka boleh mencapai potensi masing-masing. Kami sedar setiap pelajar akan mencapai potensi mereka pada kadar pembelajaran yang berbeza.
“Kami juga akui bahawa kemahiran bukan akademik seperti kemahiran berkomunikasi, berinteraksi, membina keyakinan dan daya tahan sama penting.
“Maka, kami berharap dapat membentuk pelajar yang lebih yakin di peringkat sekolah menengah. Kemudian, di peringkat pengajian tinggi seperti politeknik dan ITE (Institut Pendidikan Teknikal), pelajar boleh memilih laluan pembelajaran yang terbaik berdasarkan kekuatan dan potensi masing-masing,” kata Dr Maliki.
Bagi memastikan warga bersedia menghadapi alam pekerjaan, sistem pendidikan Singapura juga dibentuk bagi memenuhi keperluan majikan pada masa depan yang dapat menyesuaikan diri serta berdaya tahan, tambah Dr Maliki.
Justeru, pelajar digalak memastikan kerelevanan kursus pilihan mereka di pusat pengajian tinggi supaya ia sejajar dengan minat dan kekuatan mereka.
Sebagai contoh, laluan Kemasukan Awal (EAE) bagi ITE dan kelima-lima politeknik disediakan bagi pelajar peringkat GCE ‘N’ dan ‘O’ untuk memohon dan menerima tawaran bersyarat untuk masuk ke ITE dan politeknik.
Selain kelayakan akademik, permohonan melalui EAE juga dipertimbang berdasarkan kemampuan dan minat yang dipapar terhadap kursus tertentu.
Pemohon mungkin diminta menyerahkan portfolio, ditemu bual atau menjalani ujian kebolehan sebagai sebahagian daripada proses pemilihan.
Satu lagi program yang menawarkan kaedah pembelajaran berbeza adalah program Diploma Bekerja dan Belajar (WSDip) anjuran ITE, yang menggabungkan pembelajaran dalam kelas dan pengalaman bekerja dalam industri.
Menerusi program tersebut, lulusan ITE berpeluang membangunkan kemahiran yang diperlukan industri, sekali gus dapat membantu mereka dalam kerjaya yang diceburi sementara mereka berusaha mendapatkan diploma dan memperoleh gaji setanding dengan lulusan politeknik.
Menjelaskan lanjut mengenai keberkesanan program tersebut, Dr Maliki berkata:
“Ramai pelajar di ITE mempunyai latar belakang, dengan mereka perlu bekerja untuk menampung keluarga selepas tamat pengajian.
“Oleh itu, program WSDip ini sangat sesuai untuk mereka kerana mereka dapat mencapai kecemerlangan dalam pengajian mereka dan pada masa yang sama, berpeluang meraih pendapatan semasa belajar.
“Sebagai contoh, saya kenal seorang pelajar yang mula bekerja dengan sijil Nitec Lanjutan dan membawa pulang pendapatan sekitar $2,000. Namun, selepas menyertai program ini, beliau dinaikkan pangkat kepada pengurus projek dan pendapatannya meningkat dua kali ganda,” ujarnya.
Dalam pada itu, universiti setempat juga menawarkan kursus mikro yang membolehkan pelajar meneroka kemahiran lain.
Pemerintah juga memberi penekanan terhadap latihan amali dalam kalangan penuntut di institut pengajian tinggi bagi mendedahkan mereka kepada persekitaran pekerjaan.
Bagi menggalak pelajar ITE untuk terus mempertingkat kemahiran untuk mencapai aspirasi, Anugerah Kemajuan ITE diperkenal bagi mendorong mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Melalui skim itu, pelajar 30 tahun ke bawah yang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma layak menerima tokokan $5,000 dalam Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA).
Selepas pelajar meraih diploma, mereka akan menerima tokokan $10,000 ke Akaun Biasa (OA) Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka.
Dr Maliki berkata anugerah Kemajuan ITE itu adalah pengiktirafan potensi pelajar ITE.
Menurutnya lagi, anugerah itu juga membantu mengurangkan beban kewangan pengajian di samping mengurangkan jurang pendapatan antara pelajar ITE dengan politeknik.
Dr Maliki berkata: “Matlamat MOE menyediakan pelbagai laluan pendidikan dan kerjaya adalah untuk membentuk individu yang berkeyakinan diri dan supaya individu itu dapat berasakan beliau boleh menambah nilai kepada majikannya dan masyarakat di samping berupaya mendapat pendapatan yang baik.”
“
Kami ingin membina perwatakan dan keupayaan para pelajar supaya mereka boleh mencapai potensi masing-masing. Kami sedar setiap pelajar akan mencapai potensi mereka pada kadar pembelajaran yang berbeza. Kami juga akui bahawa kemahiran bukan akademik seperti kemahiran berkomunikasi, berinteraksi, membina keyakinan dan daya tahan sama penting. Maka, kami berharap dapat membentuk pelajar yang lebih yakin di peringkat sekolah menengah. Kemudian, di peringkat pengajian tinggi seperti politeknik dan ITE (Institut Pendidikan Teknikal), pelajar boleh memilih laluan pembelajaran yang terbaik berdasarkan kekuatan dan potensi masing-masing.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg