Seorang pemandu treler berusia 40 tahun ditahan selepas kenderaannya, yang membawa muatan lebih dari 4.5 meter tinggi, dirakam merempuh jejambat Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) pada 6 Januari.
Sebuah video yang dimuat naik di kumpulan Facebook SG Road Vigilante menunjukkan treler hijau tersebut sedang bergerak di laluan ekspreswe dengan membawa sesuatu yang kelihatan seperti sebuah struktur berwarna oren dengan rangka yang tinggi.
Ketika ia mendekati jejambat itu, rangka tersebut terlanggar bahagian bawah jejambat, menyebabkan sebahagian dari rangka itu terlepas dari kenderaan.
Treler itu kemudian terhenti di tepi jalan.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), polis berkata mereka telah diberitahu mengenai kemalangan di PIE menghala ke Lapangan Terbang Changi itu sekitar 5.25 petang.
Polis berkata lelaki itu telah ditahan kerana memandu kenderaan berat dengan ketinggian keseluruhan lebih daripada 4.5 meter, tanpa diiringi pegawai polis atau pegawai polis bantuan.
Tiada kecederaan dilaporkan.
Pada November 2024, seorang pemandu lori berusia 55 tahun telah ditahan selepas kenderaannya yang melebihi had ketinggian merosakkan pintu masuk terowong Ekspreswe Central (CTE) di Cairnhill Circle dan menyebabkan penutupan jalan keluar yang menghala ke terowong tersebut.
Pada Ogos 2024 pula, seorang pemandu trak lelaki berusia 39 tahun ditahan selepas kenderaannya yang melebihi had ketinggian telah merosakkan lampu siling dan tanda laluan di sebahagian dari terowong CTE.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg