Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemandu forklift dijel langgar mangsa hingga kaki terpaksa dipotong

Jul 20, 2023 | 4:21 PM
HUKUMAN PENJARA: Ang Sam Poh, 69 tahun, yang ketika itu memandu forklift, dijatuhi hukuman penjara dua minggu pada Khamis selepas dia mengaku salah kerana cuai sehingga menyebabkan kecederaan teruk kepada mangsa.
HUKUMAN PENJARA: Ang Sam Poh, 69 tahun, yang ketika itu memandu forklift, dijatuhi hukuman penjara dua minggu pada Khamis selepas dia mengaku salah kerana cuai sehingga menyebabkan kecederaan teruk kepada mangsa. - Foto ST

Seorang pemandu trak forklift gagal memeriksa dengan teliti bahawa tiada sesiapa berdiri di belakang sehingga melanggar seorang lelaki ketika mengundurkan kenderaan itu pada 29 November 2022.

Kejadian itu menyebabkan kaki kiri mangsa, Encik Mohd Hanafiah Abdul Jalil, hancur dan beliau perlu menjalani pembedahan – kaki di bahagian atas lututnya terpaksa dipotong – di hospital lewat hari tersebut, lapor The Straits Times pada Khamis.

Ang Sam Poh, 69 tahun, yang ketika itu memandu forklift, dijatuhi hukuman penjara dua minggu pada Khamis selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan teruk kepada Encik Hanafiah, 56 tahun, disebabkan kecuaiannya.

Encik Hanafiah merupakan pemandu trak besar atau ‘prime mover’ yang menghantar tepung susu ke sebuah gudang di Quality Road, berhampiran Jalan Boon Lay pada hari kejadian.

Beliau meletakkan trak yang membawa palet tepung susu itu dan Ang sedang mengendalikan forklift untuk memunggahnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Encik Jonathan Lee, berkata Encik Hanafiah sedang mundar-mandir di kawasan kira-kira 5 meter hingga 7 meter di belakang forklift itu sekitar 11.30 pagi semasa Ang menjalankan tugasnya.

Ang gagal berhenti untuk memastikan laluan di belakang forklift itu tidak mempunyai halangan dan mengundur kenderaannya.

DPP menambah: “Dia hanya melihat pada palet tepung susu yang berada di trak besar itu.

“Dia mengundurkan kenderaan tersebut sedikit ke kanan, memberi lebih banyak ruang untuk mendekati trak besar itu, tetapi tidak melihat mangsa berjalan di belakangnya di sebelah kanan forklift.”

Encik Hanafiah jatuh ke lantai apabila forklift itu melanggar kaki kirinya dan menjerit kesakitan.

Ang menghentikan kenderaan dan cuba membantu Encik Hanafiah bangun tetapi gagal berbuat demikian. Dia kemudian meminta bantuan.

Ambulans kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Universiti Nasional (NUH), di mana Encik Hanafiah didapati cedera parah.

Bahagian kaki kirinya terjejas teruk, tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong.

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan keadaan semasa Encik Hanafiah.

Kerana menyebabkan kecederaan parah kepada orang lain disebabkan kecuaian, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda sehingga $5,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg