Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemandu ‘Get-Go’ ditangkap selepas wanita 66 tahun maut dalam kemalangan kereta

Jul 14, 2025 | 5:01 PM
Kereta Get-Go yang dipandu oleh pemandu tidak berlesen telah merempuh sebuah reruai pasar malam di Circuit Road, dan membunuh seorang wanita berusia 66 tahun.
Kereta Get-Go yang dipandu oleh pemandu tidak berlesen telah merempuh sebuah reruai pasar malam di Circuit Road, dan membunuh seorang wanita berusia 66 tahun. - Foto TANGKAP LAYAR INTERNET

Seorang lelaki telah ditangkap selepas kereta yang didakwa dipandunya merempuh sebuah gerai pasar malam di Circuit Road pada 11 Julai.

Seorang wanita berusia 66 tahun meninggal dunia dalam kemalangan itu.

Menurut pihak polis, mereka dimaklumkan tentang kejadian di Blok 52A Circuit Road sekitar 11.45 malam.

Wanita tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh seorang paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Pemandu kereta itu, seorang lelaki berusia 40 tahun, telah ditangkap kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian serta memandu tanpa lesen dan insurans.

Pemandu itu juga dipercayai tidak memberikan bantuan kepada wanita yang cedera, tetapi didakwa melarikan diri dari tempat kejadian selepas kemalangan.

Melalui siasatan menyeluruh di lapangan dan dengan bantuan rakaman CCTV, Polis Trafik (TP) berjaya mengenal pasti identiti pemandu dan menangkapnya dalam masa 15 jam selepas kemalangan berlaku.

Siasatan awal mendedahkan bahawa pemandu tersebut tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Pemandu itu kini sedang membantu dalam siasatan.

Seorang lelaki berusia 38 tahun turut ditangkap di tempat kejadian kerana membenarkan pemandu tersebut memandu tanpa lesen dan perlindungan insurans yang sah. Dia merupakan penumpang hadapan dan dipercayai telah menyewa kereta tersebut.

Siasatan polis masih dijalankan.

Dalam beberapa gambar yang dimuat naik di laman Facebook SGRV Front Man pada 12 Julai, menunjukkan keadaan selepas kemalangan, sebuah kereta GetGo dilihat telah merempuh bahagian tepi tangga sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Kereta tersebut kelihatan telah melanggar sebuah gerai pasar malam di hadapan blok 52A Circuit Road.

Kelihatan seperti sisa makanan bersepah di atas dan belakang kereta tersebut.

Di sekeliling kereta terdapat barang-barang – termasuk sebuah meja, kotak polisterin dan beg plastik – dalam keadaan berselerak.

Dalam satu kenyataan pada 13 Julai, GetGo berkata maklumat awal menunjukkan kereta itu telah dipandu oleh individu yang bukan pengguna yang sah.

“Ini adalah pelanggaran serius terhadap terma perkhidmatan kami, yang direka untuk melindungi komuniti kami,” katanya, sambil menambah bahawa mereka sedang bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis.

“Ucapan takziah dan simpati kami ucapkan kepada keluarga dan orang tersayang mangsa.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg