Seorang pemandu kereta sewa privet mengambil komputer riba seorang penumpang yang ditinggalkannya secara tidak sengaja dan berbohong bahawa dia tidak melihatnya.
Riduan Chumadi, seorang pemandu Grab pada masa itu, menghantar komputer riba itu untuk pembersihan data dan pengaturan semula, menyebabkan semua data di dalam peranti itu – termasuk maklumat berkenaan kerja selama dua tahun – dipadamkan.
Mangsa itu, seorang pekerja bank berusia 42 tahun, memberitahu penyiasat bahawa kerja hariannya akan terjejas untuk tempoh enam bulan hingga setahun akan datang.
Riduan, 46 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama seminggu pada 24 Mei selepas dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan menyalahgunakan peranti secara tidak jujur.
Kejadian itu berlaku pada 18 Oktober 2023, apabila mangsa meninggalkan pejabatnya di Marina Boulevard pada sekitar 1.45 awal pagi dan menaiki kereta Riduan.
Pegawai Pendakwa Negara (SPO) Lam Peng Choy, berkata wanita itu tertinggal komputer ribanya yang bernilai $3,000 di dalam kenderaan berkenaan dengan tidak sengaja apabila beliau turun kira-kira 15 minit kemudian di Hospital Raffles di North Bridge Road.
Riduan kemudian mengambil penumpang lain yang menemui komputer riba itu dan memberikannya kepadanya.
SPO Lam memberitahu mahkamah: “Tertuduh membuat keputusan untuk menyalahgunakan komputer riba dan.... menyimpannya di dalam but kereta.
“Tertuduh tahu bahawa komputer riba itu milik penumpang terdahulu tetapi tidak berusaha untuk mengesan pemilik sahnya, kerana dia tidak mempunyai niat untuk mengembalikan peranti itu atau memberikannya kepada sembarang pihak berkuasa.”
Mangsa sedar bahawa peranti itu hilang sekitar 3.30 petang selepas janji temu perubatannya di hospital dan cuba menghubungi Riduan dua kali, tetapi Riduan tidak menjawab panggilannya.
Selepas penumpang itu menghubungi Grab, Riduan berbohong dan mengatakan bahawa dia tidak nampak komputer riba itu di dalam keretanya, menyebabkan wanita itu untuk membuat laporan polis.
Pada 23 Oktober 2023, Riduan membawa komputer riba itu ke pusat membeli-belah Sim Lim Square untuk melakukan tetapan semula dan telah ditangkap tidak lama kemudian.
Dokumen mahkamah tidak menyatakan jika dia berniat untuk menjual atau menyimpan komputer riba itu untuk diri sendiri.
Komputer riba itu ditemui dan dipulangkan kepada mangsa.
Pada masa itu, semua maklumat yang disimpan di dalamnya sudah hilang.
SPO berkata: “Mangsa itu tidak dapat merujuk pada projek lamanya… untuk melengkapkan kerjanya dengan lebih cekap, dan juga tidak boleh membuat rujukan kepada projek lamanya untuk mengemukakan projek baru kepada pelanggan.”
Bagi salah guna harta secara tidak jujur, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg