Sekitar 850,000 pemandu yang masih belum memasang peranti dalam kenderaan, atau On-Board Unit (OBU) kini boleh mengunjungi bengkel pilihan mereka yang diiktiraf Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) tanpa menunggu pemberitahuan rasmi daripada pihak berkuasa itu.
Mulai November, mereka tidak perlu lagi menggunakan portal tempahan LTA untuk menjadualkan janji temu untuk memasang OBU.
Sekitar 150,000 kenderaan berdaftar Singapura baru dan sedia ada telah memasang OBU sejak November 2023, kata LTA.
Dalam kenyataan LTA pada 29 Oktober, pihak berkuasa itu berkata: “Daripada sekitar 150,000 kenderaan itu, sekitar 90,000 pemilik kenderaan sedia ada telah menghubungi bengkel secara proaktif untuk memasang OBU sebelum menerima notis pemberitahuan mereka pada 28 Oktober.”
Untuk memudahkan proses tersebut, LTA telah memperkemaskan proses tempahan bagi pemilik kenderaan.
Pemilik kenderaan sedia ada kini boleh membuat janji temu terus dengan bengkel pilihan mereka yang diiktiraf LTA untuk memasang OBU tanpa melayari portal tempahan LTA atau menunggu pemberitahuan rasmi LTA, kata pihak berkuasa itu.
Portal tempahan asal (go.gov.sg/book-obu) telah diperbaharui sebagai halaman maklumat untuk membantu pemilik kenderaan mencari bengkel yang sesuai untuk kenderaan mereka.
Pemandu boleh menempah janji temu pemasangan OBU secara langsung dengan bengkel pilihan mereka yang diiktiraf LTA.
Semua pemandu dijangka memasang OBU menjelang 2026, ujar LTA.
LTA berkata lebih banyak ciri akan dilancarkan, termasuk membenarkan pemandu membayar caj Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) yang terlepas dan tol pusat pemeriksaan.
Dengan jaminan lima tahun, tempoh pemasangan adalah antara dua hingga empat jam tetapi ia berbeza mengikut pembuatan, model dan keadaan kenderaan.
OBU mempunyai tiga komponen: unit pemprosesan, unit antena dan paparan skrin sentuh. Unit pemprosesan tersebut boleh diletak di beberapa ruang mengikut jenis kenderaan dan bahagian dalamnya.
Ia boleh diletakkan di ruang kaki penumpang hadapan, ruang kaki pemandu, di bawah kotak sarung tangan, di bawah tempat duduk pemandu atau pada konsol tengah.
Menurut LTA, sekitar 70 peratus telah memilih untuk meletakkan unit pemprosesan di ruang kaki di tempat duduk penumpang hadapan, dan 13 peratus telah meletakkannya di ruang kaki pemandu.
Sebanyak 8 peratus telah memasang unit pada konsol tengah, 8 peratus lagi di bawah petak sarung tangan dan 1 peratus di bawah tempat duduk pemandu.
“LTA akan menghantar pemberitahuan secara berperingkat kepada semua baki kenderaan berdaftar Singapura untuk memasang OBU dalam tempoh pemasangan,” kata LTA.
Peralihan daripada IU lama kepada OBU akan disokong dengan memasang OBU di bilik pameran dan kenderaan pandu uji untuk membiasakan pemilik kenderaan sedia ada dan bakal pemilik dengan sistem baharu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg