Sehingga 20,000 Sjil Hak Memiliki Kenderaan (COE) tambahan bagi lima kategori kenderaan akan dikeluarkan dalam beberapa tahun akan datang mulai Februari 2025.
Jumlah kenderaan itu adalah kira-kira 2 peratus jumlah keseluruhan kenderaan di sini pada masa ini, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Langkah LTA ini akan menambah bekalan COE, tetapi adalah kurang jelas pada masa ini bagaimana ia akan menjejas premium COE.
Dalam kenyataannya, LTA berkata ia boleh menambah bekalan COE bermula Februari 2025 kerana corak perjalanan pengguna jalan raya telah berubah, dengan jarak yang dijangkau kenderaan berkurangan sekitar 6 peratus antara 2019 dengan 2023.
Antaranya, lebih ramai orang menaiki pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri dalam tempoh tersebut. Sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) yang dipertingkat, atau ERP 2.0, juga membolehkan kesesakan jalan raya dan penggunaan kenderaan diuruskan dengan lebih baik melalui ‘gantri maya’.
Menurut LTA, ia akan mempertimbangkan tambahan COE susulan jika data dan keupayaan lanjut dibolehkan menerusi penggunaan ERP 2.0, termasuk pilihan memperkenalkan caj berdasarkan jarak.
Sehingga itu, caj ERP akan disesuaikan berdasarkan keadaan trafik, kata LTA.
Kali terakhir LTA menambah jumlah COE menggunakan pendekatan yang serupa adalah antara 1997 dengan 2003, apabila ia mengeluarkan 10,500 COE tambahan selepas sistem ERP diperkenalkan, kata LTA lagi.
Namun LTA berkata wawasan jangka panjang pemerintah untuk mengurangkan penggunaan kereta atau menjadi car-lite tetap dikekalkan.
“Kadar Pertumbuhan Kenderaan (VGR) untuk kereta dan motosikal akan dikekalkan pada kadar sifar, manakala VGR untuk kenderaan barangan dan bas akan kekal pada 0.25 peratus setahun dari 1 Februari 2025 hingga 31 Januari 2028,” menurut LTA.
Mod perjalanan utama di sini ialah berjalan kaki, berbasikal dan menaiki pengangkutan awam, dengan rangkaian kereta api diperluas sebanyak 18 peratus daripada 228 kilometer pada 2019 kepada sekitar 270 kilometer pada masa ini, kata LTA.
Rangkaian MRT turut dijangka diperluas dalam beberapa tahun akan datang demi menambah pilihan pengangkutan alternatif dan mengurangkan kebergantungan pada kereta.
ERP 2.0 yang dipertingkat kini berteraskan satelit dan membolehkan pihak berkuasa menguruskan kesesakan lalu lintas dan penggunaan kenderaan dengan lebih baik, tambah LTA.
Teknologi satelit sistem itu akan membolehkannya memperkenalkan ‘gantri maya’ yang baru untuk menguruskan kesesakan dengan cara yang lebih fleksibel dan responsif. Ini akan dilaksanakan selepas semua kenderaan di sini dipasang dengan unit on-board (OBU) baru.
LTA berkata: “ERP 2.0 juga menyediakan pilihan caj berdasarkan jarak, yang akan menjadi alat tambahan untuk mengawal selia penggunaan kenderaan dan menguruskan kesesakan lalu lintas dengan lebih responsif.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg