Pemandu kereta yang terbalik beberapa kali selepas bertembung dengan sebuah kereta, tercampak keluar dari kenderaannya dan meninggal dunia, manakala dua orang telah dibawa ke hospital akibat kemalangan itu.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dimaklumkan mengenai kemalangan di sepanjang Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) menghala ke Changi selepas susur keluar Upper Bukit Timah Road pada 9 malam Jumaat.
Ambulans SCDF yang tiba di lokasi kejadian mendapati pemandu berusia 33 tahun itu tidak bergerak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Polis berkata kemalangan itu melibatkan dua kereta.
Seorang lagi lelaki berusia 33 tahun, pemandu kereta kedua dan penumpangnya, seorang wanita berusia 23 tahun, dalam keadaan sedar ketika dikejarkan ke Hospital Tan Tock Seng.
Video yang dimuat naik di Facebook SG Road Vigilante menunjukkan sebuah kereta berwarna hitam menyusur keluar masuk trafik di lorong paling kanan PIE, serta memotong kenderaan di sebelah kiri.
Dalam rakaman itu, kereta hitam itu boleh dilihat hilang kawalan ketika menghampiri selekoh.
Ia kemudian terbabas merentasi keempat-empat lorong lebuh raya, melanggar sebuah kereta dan terbalik beberapa kali, sebelum berhenti dalam keadaan terbalik di bahu jalan.
Serpihan kereta akibat pelanggaran itu boleh dilihat bertaburan di jalan raya.
Kira-kira 20 pegawai polis berada di tempat kejadian, menurut seorang saksi.
Difahamkan, kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan selama tiga jam akibat penutupan lorong.
Siasatan sedang dijalankan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg