Seorang pemandu kereta sewa persendirian telah didenda $3,000 kerana membuat kenyataan berbaur perkauman terhadap seorang penumpang pada September tahun ini, berikutan pertikaian mengenai lokasi penghantaran.
Menerusi kenyataan pemandu itu, yang dirakam dan disiarkan di media sosial oleh mangsa, seorang wanita berusia 46 tahun, pemandu itu kelihatan menjerit kepadanya: “Anda seorang India, saya seorang Cina... Anda adalah jenis yang paling teruk.”
Menurut laporan The Straits Times, Peh Boon Hua, 54 tahun, didenda pada 13 Disember lalu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan menggunakan perkataan menghina yang menyebabkan kesusahan di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan.
Menurut dokumen mahkamah, mangsa menggunakan aplikasi Tada untuk menempah kereta dari Blok 470 Pasir Ris Drive 6 kira-kira pada 2 petang pada 23 September.
Dia berhasrat untuk menetapkan lokasi ‘drop-off’ di Blok 194 Pasir Ris Street 12, tetapi disebabkan kerosakan pada aplikasi Tada, dia terpaksa menetapkan lokasi ‘drop-off’ di Blok 194 Pasir Ris Street 11.
Bagaimanapun, dokumen mahkamah menyatakan Peh tidak dapat mengesan Blok 194 di Pasir Ris Street 11.
Pertengkaran mengenai lokasi penghantaran berlaku antara Peh dan mangsa, sebelum dia membuat pusingan dan memandu ke arah Pasir Ris Street 12.
Ketika pertengkaran berterusan, mangsa mula merakam Peh di telefonnya.
Mangsa dan anak perempuannya turun dari kereta di Blok 194 Pasir Ris Street 12, mengambil barang mereka dari but kereta dan beredar. Dia membuat laporan polis keesokan harinya.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Sheldon Lim memohon agar Peh didenda antara $3,000 dan $4,000.
DPP Lim menyatakan walaupun penghinaan yang dibuat Peh itu disasarkan kepada mangsa, anak perempuannya – yang juga berada di dalam kenderaan pada masa itu – mendengar Peh menghina ibunya.
Peh tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan telah melahirkan rasa kesal serta mengaku bersalah lebih awal.
Tada telah menggantung Peh berikutan video gelagatnya yang tular di media sosial.
Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times, Tada berkata Peh dihalang secara kekal daripada bekerja dengan syarikat itu sebagai pemandu.
“Kenyataan pemandu yang menghina perbezaan kaum tidak boleh diterima sama sekali dalam garis panduan dan adab masyarakat Tada,” kata Tada.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg