Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemandu teksi akan diberi pampasan semasa kenderaan dipasang unit peranti baru

Feb 7, 2024 | 3:09 PM
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah mendekati pengendali teksi dan Persatuan Teksi Nasional (NTA) mengenai latihan pemasangan peranti baru dalam kenderaan atau ‘on-board unit’ (OBU).
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah mendekati pengendali teksi dan Persatuan Teksi Nasional (NTA) mengenai latihan pemasangan peranti baru dalam kenderaan atau ‘on-board unit’ (OBU). - Foto fail ST

Pemandu teksi akan diberi pampasan untuk masa terhenti yang mereka tanggung daripada pemasangan dalam peranti baru dalam kenderaan atau on-board unit (OBU) bagi sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) berteraskan satelit, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah memaklumkan pengendali teksi dan Persatuan Teksi Nasional (NTA) mengenai latihan pemasangan OBU, dan semua empat firma teksi bersetuju untuk memberi pampasan kepada pemandu mereka menerusi rebat sewa apabila mereka menghantar kenderaan mereka ke bengkel bagi tujuan ini, kongsi Dr Khor di Parlimen pada 7 Februari.

Pemasangan OBU bagi kereta sewa privet, yang disewa daripada syarikat menyewa kereta atau dimiliki oleh pemandu, akan dijadual kemudian.

LTA akan mendekati pihak berkaitan, seperti pengendali perkhidmatan e-panggilan pengangkutan dan persatuan pemandu, pada waktu lebih dekat dengan tempoh yang dijadualkan, tambah Dr Khor.

Teksi adalah antara kenderaan pertama yang dijadual untuk pemasangan OBU baru. LTA berkata pemasangan OBU baru akan dilaksanakan secara berperingkat dari November 2023, bermula dengan kira-kira 20,000 kenderaan, yang termasuk bas awam, motosikal dan teksi.

Secara keseluruhan, hampir sejuta kenderaan akan dipasang dengan OBU baru dalam satu latihan yang dijangka selesai pada hujung 2025.

Semua kenderaan baru akan dipasang dengan peranti itu – yang terdiri daripada antena, unit pemprosesan dan paparan skrin sentuh – mulai suku pertama 2024.

Semua kenderaan lain akan menggantikan unit dalam kenderaan sedia ada mereka secara berkelompok, berdasarkan usia kenderaan.

Dr Khor berkata demikian ketika menjawab soalan Cik Yeo Wan Ling (GRC Pasir Ris-Punggol), yang merupakan penasihat kepada NTA dan Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg