Singapura menetapkan matlamat menjadi destinasi yang dipercayai dan berkecuali berhubung kerjasama dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI), sedang Amerika Syarikat-China kian bersaing sengit dalam permintaan, penggunaan teknologi dan pertembungan dasar.
Pembangun AI di sini mesti mahir dalam pelbagai model AI dan tidak terjerat dalam dunia yang semakin berpecah belah, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, pada 7 Oktober.
Encik Chan bercakap dalam perbincangan panel di Sidang Puncak Masa Depan Asia 2024 The Business Times, yang dibentangkan oleh OCBC Bank dan dianjurkan dengan kerjasama Huawei, lapor The Straits Times (ST).
Persidangan sehari di Shangri-La Singapore itu memberi tumpuan kepada AI.
Mengenai rancangan pemerintah untuk mengembangkan kecekapan negara dalam AI, Encik Chan memetik perbincangan beliau dengan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).
“Saya memberi cabaran kepada mereka: Bolehkah SUTD menjadi sebuah institusi yang unik di dunia di mana anda boleh mempunyai model AI terbaik dari Amerika dan China bekerja bersebelahan?” katanya kepada hampir 200 hadirin.
“Kami mahu dilihat sebagai tempat yang dipercayai dan tidak berat sebelah di mana orang ramai boleh mengumpulkan teknologi terbaik untuk bekerjasama dan bukan hanya untuk bersaing.”
Kenyataan Encik Chan itu dibuat ketika negara-negara memerhati dengan teliti perkembangan antara Amerika dengan China, yang boleh memberi kesan kepada perdagangan sejagat, inovasi dan faedah lain daripada kerjasama antara kedua-dua kuasa teknologi itu.
Guna pakai teknologi yang dibangunkan di negara yang berbeza bukanlah soal mengutamakan dari mana datangnya model AI itu, tetapi memilih alat yang akan memberi manfaat kepada negara, kata Encik Chan.
Meningkatkan kepakaran dalam AI untuk kegunaan kurang sensitif seperti reka bentuk, contohnya, adalah bidang yang sesuai untuk Singapura mengukir tukikan dan “untuk membina kepercayaan dalam dunia yang berpecah belah”, katanya.
Beliau turut memetik model Bahasa-Bahasa Asia Tenggara Dalam Satu Rangkaian Singapura sebagai contoh bagaimana Singapura boleh merapatkan jurang dalam pasaran.
Dibangunkan oleh AI Singapore, agensi yang memacu pertumbuhan teknologi di sini, Sea-Lion ialah rangkaian model bahasa besar seperti ChatGPT yang dilatih khusus untuk kegunaan Asia Tenggara bagi memastikan terdapat AI yang memahami nuansa budaya dan bahasa di rantau ini.
Perbincangan panel itu turut menampilkan ketua pegawai operasi kumpulan OCBC, Encik Lim Khiang Tong; pengarah kanan AI Singapore bagi produk AI, Encik Leslie Teo; dan moderator, Cik Claressa Monteiro daripada The Business Times.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg