Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura lancar Negara Bijak 2.0 perbaharui strategi manfaat teknologi

PM Wong: Antara tumpuan termasuk atasi bahaya dalam talian, tingkat keupayaan AI
Oct 1, 2024 | 9:12 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, melancarkan pelan Negara Bijak 2.0, yang memanfaatkan penggunaan teknologi untuk memacu Singapura ke era teknologi digital seterusnya.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, melancarkan pelan Negara Bijak 2.0, yang memanfaatkan penggunaan teknologi untuk memacu Singapura ke era teknologi digital seterusnya. - Foto ST

Singapura akan mengemas kini strategi di bawah inisiatif Negara Bijak untuk memanfaatkan peluang baru dan mengatasi ketidaktentuan pada masa hadapan, sedang landskap digital kian berubah, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Antara tumpuan baru termasuk mengatasi bahaya dalam talian serta meningkatkan keupayaan dalam kecerdasan buatan (AI).

Semasa berucap dalam majlis pelancaran Negara Bijak 2.0 di Daerah Digital Punggol pada 1 Oktober, Encik Wong berkata strategi sedemikian akan berpaksi pada tiga tunjang utama iaitu pertumbuhan, kepercayaan dan masyarakat.

Pengemaskinian strategi Negara Bijak itu penting agar teknologi dapat digunakan secara lebih berkesan untuk mentransformasikan masa hadapan Singapura dan membentuk masyarakat secara bersama, kata Encik Wong lagi.

Encik Wong menjelaskan: “Landskap digital hari ini sangat berbeza jika dibandingkan apabila pelan Negara Bijak dilancarkan sedekad lalu.

“Perubahan paling besar ialah perkembangan terkini dalam AI generatif. AI ialah teknologi berbilang tujuan – ia merupakan teknologi sekali dalam generasi, seperti kuasa wap atau Internet, yang meliputi setiap industri dan aspek kehidupan.

“Ini bermakna teknologi akan mempunyai kesan lebih besar dalam kehidupan kita.

“Pelbagai peluang tersaji (bagi masa hadapan). Tetapi terdapat juga ketidaktentuan dan cabaran yang perlu diatasi. Oleh itu, kita harus mengemas kini strategi untuk Negara Bijak.”

Beliau berkata demikian kepada sekitar 200 hadirin yang hadir.

Ini termasuk Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong; Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; dan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Negara Bijak 1.0 diumumkan pada 2014 oleh Encik Lee, yang menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri ketika itu, dan tertumpu kepada membangunkan kebolehan dan menggalak penggunaan teknologi untuk membina kehidupan bermakna bagi warga Singapura – dipacu teknologi.

Berkongsi mengenai teras pertama iaitu Pertumbuhan, Encik Wong menggariskan bahawa ia adalah untuk memperkasa warga dan perniagaan bagi menggunakan teknologi agar potensi sebenar Singapura dapat direalisasikan dengan membuat pelaburan dalam keupayaan AI baru.

“Hari ini, Singapura menjadi tuan rumah kepada lebih 150 pasukan produk serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) AI.

“Mereka berasal daripada pelbagai syarikat terkemuka sejagat dan institusi penyelidikan, termasuk universiti tempatan.

“Kami ingin mengembangkan ekosistem AI ini dan memupuk lebih banyak kerjasama antara penyelidik AI dan saintis dalam bidang domain lain seperti sains bioperubatan dan bahan,” ujar Encik Wong.

Di bawah tunjang ini juga, beliau mengumumkan bahawa golongan pendidik akan diberi sokongan agar mereka dapat membimbing pelajar dengan lebih baik melalui Fellowship Pendidik Negara Bijak oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).

Di bawah biasiswa ini, pendidik dapat mempelajari trend dan isu terkini di ruang digital.

Berkenaan tunjang kedua iaitu Masyarakat, Encik Wong berkata strategi di bawah tunjang ini berteraskan kepada pembangunan cara untuk mengurangkan kesan yang terhasil dek risiko penggunaan teknologi secara berlebihan.

Beliau berkata penggunaan media sosial secara berlebihan misalnya “boleh menyumbang kepada pengasingan, isu kesihatan mental dan penyebaran maklumat salah”, antara lain.

“Kami sedang memberi lebih perhatian kepada risiko ini dan membangunkan cara untuk mengurangkan kesannya. Kami menekankan kesihatan siber di sekolah.

“Kami sedang meningkatkan kesedaran tentang tabiat (melihat) skrin dalam kalangan keluarga dan menggalakkan lebih banyak aktiviti bebas skrin untuk kanak-kanak,” tambahnya.

Bagi tunjang terakhir iaitu Kepercayaan, Encik Wong memberi penekanan terhadap daya tahan sistem digital Singapura dan menangani risiko bahaya dalam talian.

Khususnya berkenaan bahaya dalam talian, beliau mengumumkan bahawa kandungan yang boleh merosakkan akan diberi tumpuan agar mangsa kandungan sedemikian dapat memperoleh sokongan “dalam tempoh wajar dan dapat bantuan lebih berkesan”, katanya.

Ini akan dilakukan melalui agensi khusus baru yang akan memberi sokongan kepada mangsa bahaya dalam talian sedemikian, tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg