Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembentukan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya petanda jelas GE makin hampir

Jabatan Pilihan Raya: Daftar Pengundi S’pura sedang dikemas kini dan akan dibuka untuk pemeriksaan awam pada Feb
Jan 22, 2025 | 6:41 PM
Penubuhan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) memberi bayangan Pilihan Raya Umum, yang harus diadakan menjelang November 2025, bakal diadakan untuk rakyat Singapura mengundi barisan kepimpinan yang seterusnya.
Penubuhan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) memberi bayangan Pilihan Raya Umum, yang harus diadakan menjelang November 2025, bakal diadakan untuk rakyat Singapura mengundi barisan kepimpinan yang seterusnya. - Foto REUTERS

Demam pilihan raya umum (GE), yang harus diadakan menjelang November 2025, semakin dirasakan dengan penubuhan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC).

Jawatankuasa ini ditugaskan untuk merangka sempadan kawasan undi, sekali gus membuka jalan untuk pilihan raya.

Mentelah, Daftar Pengundi Singapura sedang dikemas kini dan akan dibuka untuk pemeriksaan awam pada Februari, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 22 Januari, ELD menyatakan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mengarahkan Pegawai Pengurus Undi (RO) mengemas kini Daftar Pengundi dan menyelesaikan semakan sebelum 1 April.

Semakan itu, bagi mengemas kini daftar pengundi, akan mengandungi nama semua warga Singapura yang layak membuang undi pada 1 Februari.

Berdasarkan tiga pilihan raya terakhir di bawah Perdana Menteri sebelum ini, Encik Lee Hsien Loong (pada 2011, 2015 dan 2020), pilihan raya umum boleh diadakan antara dua hingga tujuh bulan dari tarikh pembentukan jawatankuasa itu diumumkan.

Berikut adalah beberapa fakta penting mengenai jawatankuasa dan apa yang akan berlaku berikutnya:

1. Apakah itu EBRC?

Tugasnya adalah untuk mengkaji semula sempadan kawasan undi sedia ada dan mengesyorkan bilangan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC), berdasarkan perubahan populasi.

Ia adalah jawatankuasa ad hoc yang dilantik oleh Perdana Menteri – EBRC akan menyerahkan laporan kepada Perdana Menteri sejurus selepas ia selesai semakan.

Laporan itu kemudiannya akan dikemukakan di Parlimen, yang akan memutuskan sama ada untuk menerima sempadan undi yang baru.

2. Siapakah yang membentuk EBRC?

Setiausaha kepada Perdana Menteri, Encik Tan Kee Yong, akan mempengerusikan jawatankuasa kali ini, yang lazimnya dianggotai lima penjawat awam.

Mereka mempunyai kepakaran dalam perancangan bandar dan statistik demografi.

Anggota lain adalah Ketua Eksekutif Penguasa Tanah Singapura (SLA), Encik Colin Low; Ketua Eksekutif Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Encik Tan Meng Dui; Ketua Perangkawan, Dr Koh Eng Chuan; dan Ketua ELD, Encik Lim Zhi Yang.

3. Apakah kepentingan EBRC ditubuhkan?

Pembentukannya memberi bayangan bahawa GE semakin hampir. Ia menentukan peta muktamad kawasan undi untuk pilihan raya yang akan datang.

4. Bilakah EBRC harus menyiapkan semakan?

Jawatankuasa itu tidak diberi tarikh muktamad untuk menyelesaikan semakan, tetapi berdasarkan beberapa GE sebelum ini, ia mengambil masa tiga minggu hingga tujuh bulan untuk menyiapkan laporan.

GE pernah diadakan dalam masa beberapa minggu selepas laporan itu diterbitkan.

5. Apakah langkah seterusnya?

Anggota Parlimen dan pengundi akan memantau dengan teliti apabila Parlimen dibubarkan. Presiden akan mengumumkan pembubaran Parlimen atas nasihat Perdana Menteri, dan mengeluarkan Writ Pilihan Raya.

Ini diikuti dengan Hari Penamaan Calon, apabila parti mengemukakan calon pilihan raya. Ia harus dilakukan seawal lima hari selepas writ dikeluarkan dan tidak lewat daripada sebulan selepas writ dikeluarkan. Tempoh ini biasanya adalah selama seminggu.

Hari Penamaan Calon menandakan permulaan tempoh kempen pilihan raya, yang boleh berlangsung dari sembilan hari hingga 55 hari di bawah undang-undang. Namun, ia biasanya adalah sembilan atau 10 hari.

Sehari selepas tempoh kempen tamat ialah Hari Bertenang apabila kempen tidak dibenarkan, dengan beberapa pengecualian.

Menyusul Hari Bertenang ialah Hari Mengundi apabila orang ramai membuang undi. Ini biasanya berlaku pada Sabtu dan hari tersebut merupakan cuti umum.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg