Kerja pembinaan enam stesen MRT bagi Fasa 2 Laluan Rentas Pulau (CRL) telah bermula secara rasmi, dengan terowong melalui bawah hutan simpanan terbesar Singapura dimulakan Mei lalu.
Fasa dari Turf City ke Daerah Tasik Jurong itu, turut melibatkan pembinaan stesen bawah tanah terdalam Singapura di King Albert Park – dengan kedalaman 50 meter atau 16 tingkat bawah tanah.
Ia lebih dalam daripada stesen Bencoolen – 43 meter – di Laluan Downtown.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, berkata pada 7 Julai kajian kejuruteraan Fasa 3 hampir siap.
Perincian mengenai stesen yang bakal melalui Kawasan Perusahaan Jurong dijadual diumum pada akhir 2025, lapor The Straits Times (ST).
CRL, laluan MRT kelapan Singapura, akan meningkatkan daya ketahanan rangkaian rel.
Ia akan bersambung ke semua laluan sedia ada kecuali Laluan Circle (CCL), dengan lapan daripada 21 stesen bertindak sebagai pusat tukaran.
Disifatkan sebagai “lingkaran luar” baru, ia menawarkan laluan alternatif ketika gangguan serta membuka peluang baru bagi penyelenggaraan, yang kini hanya dilakukan pada waktu malam.
Meliputi 50 kilometer, CRL akan jadi laluan MRT bawah tanah terpanjang di negara ini.
Fasa 1 (29 kilometer, 12 stesen dari Aviation Park ke Bright Hill) dijangka dibuka pada 2030, dan sambungan empat stesen dari Pasir Ris ke Punggol juga dijangka dibuka pada 2032.
CRL Fasa 2 turut dijadual siap.
Fasa 2 sepanjang 15 kilometer termasuk pusat pertukaran ke Laluan Downtown (King Albert Park) dan Laluan Timur-Barat (Clementi). Baki dua stesen ialah di Maju dan West Coast.
Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), laluan sambungan ke CRL akan dibina di stesen sedia ada di Clementi dan Albert Park.
Ia akan dilakukan secara berperingkat bagi mengurangkan gangguan.
Setakat ini, lebih $16.6 billion kontrak telah dianugerahkan, termasuk tender bagi depoh Changi East, tren dan sistem rel.
Kos reka bentuk dan binaan bagi stesen dan terowong CRL Fasa 2 sahaja melebihi $4 billion.
Apabila siap, fasa CRL itu akan memberi manfaat kepada 40,000 isi rumah, terutama mereka yang menetap di Sunset Way dan West Coast Road, yang buat masa ini tiada khidmat MRT.
LTA menjangkakan penjimatan masa perjalanan dapat disingkatkan sehingga 40 minit melalui pengangkutan awam dari West Coast ke Taman Perusahaan Ang Mo Kio.
Laluan bagi Fasa 3 – berdasarkan tender lalu – akan mempunyai sekurang-kurangnya empat stesen, mungkin melibatkan pusat pertukaran di stesen Jurong Pier (Laluan Daerah Jurong, JRL akan datang) dan stesen Gul Circle (Laluan Timur-Barat, EWL).
CRL dijangka membawa sekurang-kurangnya 600,000 penumpang sehari, meningkat hingga sejuta dalam jangka panjang.
Ia mungkin laluan MRT terakhir merentasi pulau dari timur ke barat memandangkan tiada lagi ruang bawah tanah.
Namun, ia membolehkan penambahan daripada enam ke lapan gerabak mengikut permintaan masa depan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg