Mungkin ramai yang masih ingat lagi tentang kisah Nonoi, budak dua tahun yang telah meninggal dunia kerana dibenamkan dalam air dan kemudian ditemui dalam keadaan menyayat hati di bawah jambatan pada Mac 2006.
Dalam episod kedua, podcast Diari Mahkamah, Berita Harian (BH) mengimbas kembali kisah Nonoi atau nama sebenarnya, Nurasyura Mohamed Fauzi. Apa yang telah berlaku di kejadian itu sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak dua tahun itu?
Dalam kisah ini, podcast Diari Mahkamah menyingkap tentang bagaimana bapa tiri Nonoi, Mohammed Ali Johari, telah menumbuk dan kemudian membenamkan Nonoi dalam sebaldi air gara-gara hendak menyuruh Nonoi berhenti menangis. Mayat Nonoi kemudian didapati disorokkan di salah satu celah di bawah jambatan di kawasan Aljunied dan Mohammed Ali didakwa membunuh Nonoi antara 3 hingga 6 petang di flat satu biliknya di tingkat lima Blok 90, Pipit Road.
Koresponden BH, Encik Farid Hamzah yang membuat laporan mengenai kisah ini mengongsi pengalamannya ketika ke tapak kejadian.
“Dia dikatakan membawa kanak-kanak itu pulang ke rumah datuknya, meletakkan kanak-kanak tersebut di rumah datuknya. Namun tak lama kemudian, membawa kanak-kanak tersebut keluar dan langsung mengangkat Nonoi ke salah sebuah jambatan di Aljunied dan cuba menyoroknya di salah satu celah di bawah jambatan tersebut dan menutupnya dengan sampah-sarap. Mayatnya hanya ditemui tak silap saya, beberapa hari kemudian,” kongsi Encik Farid.
Podcast ini turut memaparkan pendapat pakar tentang apakah yang menyebabkan sesebuah pasangan itu hilang kawalan atau menjadi begitu tertekan sehingga boleh mencederakan kanak-kanak.
Misalnya, pakar psikologi klinikal yang juga pengasas I’m Possible Psychological Services, Encik Muhammad Haikal Jamil menjelaskan tentang cabaran ibu bapa tiri mengalami rasa kasih sayang tanpa syarat atau dalam istilah bahasa Inggeris, “unconditional love” kepada anak tiri. Beliau turut menjelaskan bagaimana ibu bapa tiri mungkin mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap anak tiri mereka.
Melihat pada keseriusan kisah ini, seorang peguam dari I.R.B. Law LLP, Encik Mohd Dzuleqhmal Mohd Dzuleqhram memberi penerangan tentang bagaimana memberikan keterangan yang berbeza di mahkamah boleh membawa padah dan antara sebab permohonan rayuan yang tertuduh ada kalanya ditolak mahkamah sepertimana di dalam kes Mohammed Ali Johari.
Bagi mereka yang ingin mendengar episod kedua Diari Mahkamah: Pembunuhan Nonoi, anda boleh ke Spotify, Apple dan Google podcast.
Anda juga boleh ke laman web kami di beritaharian.sg/podcasts. Bagi yang ingin menonton grafik dan apa yang dikongsi pakar dalam podcast ini secara visual, anda boleh ke YouTube Berita Harian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg