Lelaki yang disyaki membunuh warga Singapura, Cik Audrey Fang, telah disahkan sebagai penerima wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mangsa, lapor media Sepanyol pada 3 Jun.
Mitchell Ong, 43 tahun, yang juga warga Singapura, ditangkap di Alicante, Sepanyol, hampir seminggu selepas Cik Fang, 39 tahun, ditemui mati dengan lebih 30 kesan tikaman dan kecederaan lain pada 10 April.
Sebuah mahkamah di bandar Cieza berkata Lembaga CPF Singapura telah mengesahkan pada 16 Mei bahawa Cik Fang telah menamakan Ong sebagai penerima simpanannya, yang menyokong andaian wujudnya motif ekonomi di sebalik pembunuhan itu, lapor akhbar La Verdad.
Pada April, Pengawal Awam, salah satu pasukan polis Sepanyol, menemui nota di iPad Cik Fang yang mengisytiharkan satu keputusan untuk menamakan “rakan lama dan orang yang dipercayai” sebagai penerima simpanan CPF-nya, sekiranya beliau meninggal dunia.
Nota itu juga memberikan si penerima “pinjaman persahabatan sebanyak AS$50,000 ($68,000) atas dasar persahabatan kami pada masa lalu”, berasingan daripada pencalonan CPF itu.
Menurut keluarga Cik Fang, beliau mempunyai sehingga 340,000 euro ($498,000) dalam akaun CPF-nya, dedah akhbar harian Sepanyol itu.
Polis Sepanyol telah menyiasat kemungkinan wujudnya motif ekonomi di sebalik kematian Cik Fang.
Menurut La Verdad, pada Oktober 2023, Cik Fang dan Ong telah berhubungan menerusi WhatsApp, dan Ong mengucapkan terima kasih kepada arkitek Singapura itu kerana menamakannya sebagai penerima wang simpanannya.
Sebelum ini, mahkamah Sepanyol itu meminta Singapura supaya memberikan maklumat perbankan, harta dan ekonomi bagi kededua Ong dan mangsa.
Keluarga Cik Fang memberitahu The Straits Times (ST) bahawa dalam percubaan mereka untuk memahami hubungannya dengan Ong, mereka menemui surat yang menunjukkan Cik Fang telah membeli dua polisi insurans berkaitan pelaburan daripada syarikat insurans AIA melalui Ong pada 2015.
Menurut profil LinkedIn yang tidak lagi wujud, suspek ialah seorang perancang kewangan di Manulife Singapura antara 2011 dengan 2013, dan pernah bekerja di AIA Singapura antara 2014 dengan 2019.
Dua kenalan rapat Cik Fang, yang ditemui peguam yang mewakili keluarganya, telah memberi keterangan dalam kes itu.
Sementara itu, Pengawal Awam sedang membuat analisis ke atas maklumat yang terkandung dalam cakera keras milik Ong dan Cik Fang, serta maklumat yang didapati daripada telefon Ong.
Menurut media Sepanyol, mahkamah telah menyatakan bahawa terdapat bukti objektif yang jelas mengenai keterlibatan suspek dalam pembunuhan itu.
Ia berdasarkan rakaman kamera, data yang disediakan oleh operator telefon dan “pelbagai andaian berasas”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg