Bonus prestasi individu yang diberikan kepada pemegang jawatan politik berada dalam lingkungan antara dua bulan setengah dengan enam bulan gaji bagi tempoh 2016 hingga 2025.

Demikian kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing. 

Dalam tempoh sama, bonus nasional pula berada di antara 0.75 dengan 5.63 bulan, katanya, bagi menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) bagi GRC Sengkang, Cik He Ting Ru, yang meminta butiran ganjaran tahunan pemegang jawatan politik.

Soalan itu dikemukakan selepas Parlimen membahaskan kenaikan gaji pemegang jawatan politik pada September, termasuk komponen gaji menteri yang tidak tetap. 

Dalam jawapannya pada 6 Oktober, Encik Chan menjelaskan bahawa ganjaran tahunan semua pemegang jawatan politik terdiri daripada gaji bulanan tetap, elaun tahunan bulan ke-13 yang tidak dikira untuk pencen, komponen berubah tahunan, bonus nasional dan bonus prestasi individu.

Menurut beliau, jumlah bonus prestasi bergantung pada penilaian Perdana Menteri terhadap prestasi setiap pemegang jawatan.

Mengenai bonus nasional, kata Encik Chan, bonus itu ditentukan oleh hasil sosioekonomi negara dan berada di antara sifar dengan enam bulan.

Bonus nasional dikaitkan dengan empat penunjuk nasional – kadar pengangguran, pertumbuhan pendapatan sebenar bagi pekerja Singapura pada persentil ke-20 dan bagi warga Singapura pada tahap median, serta pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebenar. 

Semasa perbahasan September, Encik Chan berkata pemerintah akan memperketat sasaran bagi tiga penunjuk sosioekonomi itu.

Pada 6 Oktober, beliau berkata elaun tahunan yang tidak dikira untuk pencen bernilai sebulan gaji. Komponen Berubah-ubah Tahunan (AVC) pula biasanya sekitar sebulan gaji, mengikut jumlah yang diterima perkhidmatan awam secara umum. 

Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) mengumumkan AVC dua kali setahun.

Encik Chan berkata, antara 2016 dengan 2025, gaji bulanan rujukan bagi seorang menteri di gred permulaan MR4 adalah $55,000.

Gaji minimum dan maksimum ditetapkan pada 85 peratus dan 110 peratus daripada gaji bulanan itu, selaras dengan rangka kerja gaji.

Gaji bulanan minimum dan maksimum bagi pemegang jawatan di gred lain juga boleh diperoleh daripada Kertas Putih 2012 mengenai gaji politik, tambah beliau.

Secara keseluruhan, Encik Chan menyatakan bahawa pelbagai komponen tersebut memberikan gambaran yang jelas mengenai tahap dan julat ganjaran bagi pemegang jawatan politik.

“Pada masa depan, pemerintah akan mempertimbangkan cara terbaik untuk mendedahkan lebih banyak maklumat tentang ganjaran pemegang jawatan politik,” katanya.

Ketua WP, Encik Pritam Singh, semasa perbahasan pada September meminta jumlah ganjaran sebenar yang diterima menteri di gred permulaan MR4, termasuk bonus maksimum yang dibenarkan di bawah rangka kerja gaji.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ketika itu berkata beliau ingin meneliti cara menyediakan lebih banyak maklumat mengenai agihan gaji dan bonus prestasi dalam kalangan menteri, memandangkan ramai yang berminat terhadap topik tersebut.

Bagi persidangan Oktober, Encik Pritam meminta data tentang pemegang jawatan politik yang baharu dilantik sejak beberapa tahun lalu, termasuk maklumat tentang perubahan gaji mereka sebelum dan selepas dilantik.

Dalam jawapannya, Encik Chan berkata pemerintah tidak mengumpul atau menyimpan perangkaan yang diminta secara sistematik.