Parti Pekerja (WP) bersetuju dengan prinsip-prinsip luas yang menjadi dasar kepada rangka kerja gaji pemegang jawatan politik, namun terus memegang pandangan berbeza dengan pemerintah terhadap formula yang digunakan bagi pengiraan gaji berkenaan, kata ketua parti WP, Encik Pritam Singh.

Beliau turut menggesa agar ketelusan ditingkatkan berhubung jumlah keseluruhan ganjaran menteri pada gred permulaan MR4, dengan menyatakan bahawa langkah ini akan memberi gambaran lebih tepat mengenai pendapatan mereka berbanding tanda aras gaji tahunan.

MR4 ialah gred rujukan bagi menentukan struktur gaji pemegang jawatan politik.

Bercakap semasa perbahasan Parlimen mengenai perubahan gaji pemegang jawatan politik pada 10 September, Encik Pritam berkata partinya menyokong langkah menaikkan gaji Anggota Parlimen (AP) kerana mengambil kira kadar inflasi.

Beliau merupakan satu-satunya AP WP yang membuat ucapan daripada 12 AP yang menyampaikan pandangan mereka dalam perbahasan tersebut.

WP turut bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bahawa kenaikan sekali sahaja bagi gaji menteri tidak sepatutnya melebihi 9 peratus, dan tanda aras gaji $1.8 juta bagi menteri gred MR4 bukanlah satu sasaran yang wajib dicapai oleh setiap menteri.

Ini merupakan pendekatan yang lebih ‘masuk akal’ terhadap gaji menteri, berbanding cadangan daripada jawatankuasa bebas yang menjalankan semakan gaji baru-baru ini, kata Encik Pritam.

Encik Wong dan Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, telah mengumumkan perubahan kepada gaji pemegang jawatan politik pada 8 September.

Di bawah usulan dalam laporan jawatankuasa tersebut, pakej elaun tahunan AP akan meningkat daripada $192,500 kepada $259,000 untuk mengambil kira kadar inflasi.

Ia juga menyatakan bahawa gaji menteri harus kekal menjadikan pendapatan median daripada 1,000 penerima pendapatan tertinggi dalam kalangan warga Singapura sebagai penanda aras, dengan potongan 40 peratus bagi mencerminkan etos perkhidmatan awam.

Encik Pritam bersetuju bahawa gaji pemegang jawatan politik harus cukup berdaya saing bagi menarik individu berkaliber yang diperlukan.

Beliau turut bersetuju bahawa perkhidmatan politik adalah satu panggilan dengan etosnya yang tersendiri dan bahawa ganjaran politik haruslah telus.

Namun, beliau berkata WP kekal dengan pendirian dalam usulan 2012 mereka bahawa adalah lebih baik jika gaji menteri ditetapkan mengikut gandaan gaji AP – di mana gaji AP itu pula dikira berdasarkan gaji pegawai sektor awam.

Di bawah usulan tersebut, kenaikan jumlah gaji menteri tahun demi tahun akan menjadi lebih sederhana, jelas beliau.