Warga Singapura berpendapatan rendah akan dapat menikmati diskaun 6 peratus untuk pembelian barangan runcit, naik daripada 3 peratus sebelum ini, di cawangan FairPrice mulai 3 September.

Dalam satu kenyataan pada 2 September, Kumpulan FairPrice (FPG) berkata diskaun itu boleh digunakan oleh pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) biru pada setiap Khamis, dan pemegang kad Chas jingga pada setiap Jumaat.

Inisiatif itu akan berlangsung sehingga 1 Januari 2027.

Diskaun itu layak untuk pembelian sehingga $200 sehari bagi setiap pelanggan, di semua kedai FairPrice dan farmasi Unity, serta di FairPrice Online. Ia boleh digabungkan dengan promosi kedai sedia ada dan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC). 

Mereka yang memilih penghantaran dalam talian pada hari yang ditetapkan boleh mendapat pengecualian yuran perkhidmatan $3.99 dengan perbelanjaan minimum $100, kata FPG.

FPG turut menambah bahawa pembeli yang layak boleh mengesahkan butiran mereka melalui aplikasi FPG supaya diskaun dapat dikenakan secara automatik dalam talian dan di kedai.

Diskaun yang baru diumumkan itu menambah kepada penjimatan lebih $10 juta yang telah diberikan kepada pemegang kad Chas pada 2026, kata FPG. Skim itu disokong oleh badan amal kumpulan itu, FairPrice Foundation.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FPG, Encik Vipul Chawla, berkata penggandaan diskaun untuk pemegang kad Chas mencerminkan komitmen berterusan kumpulan itu untuk memberikan sokongan berterusan dan membantu isi rumah yang layak mendapat penjimatan lebih banyak untuk keperluan harian mereka.

“Dengan menyediakan penjimatan ini secara dalam talian dan di kedai, kami berharap dapat memberikan nilai yang bermakna, dan menjadikan setiap hari lebih baik bagi masyarakat,” katanya.

Ini merupakan kali kedua pada 2026 FPG menggandakan diskaunnya untuk pemegang kad Chas biru dan jingga, selepas satu lagi tempoh serupa dari April hingga Mei.