Topik diikuti
Pergi ke BHku12,000 pelajar Darjah 6 boleh tebus pek sarapan percuma di Cheers, FairPrice Xpress pada Sep
Sehingga 12,000 pelajar Darjah 6 dapat menebus pek sarapan percuma di cawangan-cawangan Cheers dan FairPrice Xpress mulai 3 September.
Setiap pek bernilai lebih $25 itu mengandungi pelbagai produk makanan dan minuman termasuk bijirin, pati ayam, buah epal dan susu oat, menurut kenyataan Kumpulan FairPrice pada 17 Ogos sewaktu mengumumkan penganjuran semula kelab sarapan Cheers Breakfast Club bagi tahun ketiga berturut-turut.
Para pelajar yang sedang membuat persiapan bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) boleh menebus pek berkenaan di 51 cawangan Cheers dan FairPrice Xpress yang mengambil bahagian mulai 1 tengah hari pada 3 September, serta pada waktu operasi cawangan dari 4 hingga 6 September.
Oleh kerana stok agihan adalah terhad, ia diagihkan berdasarkan siapa dahulu didahulukan.
Para pelajar Darjah 6, atau ibu bapa mereka, boleh membuat tebusan dengan menunjukkan kad pelajar atau slip peperiksaan PSLE sama ada dalam bentuk fizikal mahupun elektronik.
Tebusan dihadkan kepada satu pek bagi setiap murid.
Jumlah 12,000 pek itu mewakili kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan kohort murid Darjah 6 di Singapura, menurut Kumpulan FairPrice berdasarkan saiz kohort Darjah 6 Kementerian Pendidikan (MOE) pada 2025.
Lebih 2,600 pek sarapan turut diperuntukkan bagi pelajar Darjah 6 daripada keluarga penerima bantuan badan-badan bantu diri, termasuk Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), Persatuan Serani, Yayasan Mendaki, dan Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda).
Ibu kepada seorang pelajar lelaki yang bakal menduduki PSLE tahun ini, Cik Pearlyn Woo, menyifatkan daya usaha tersebut sebagai satu langkah yang amat bermakna.
“Memandangkan kini tiba giliran anak saya untuk menduduki PSLE, dengan adanya (pek) sarapan yang sedia diambil pada waktu pagi ini amat memudahkan rutin harian kami. Persiapan menghadapi peperiksaan boleh menyebabkan tekanan, jadi sebarang bentuk sokongan amat bermakna,” katanya.
Pengurus Besar Yayasan FairPrice, Cik Jean Khong, berkata:
“Ia bukan sekadar hidangan sarapan semata-mata, namun kami berharap setiap pelajar dapat memahami mesej bahawa PSLE hanyalah satu langkah dalam perjalanan pembelajaran sepanjang hayat mereka.
“Yakin pada diri sendiri, berusaha dengan gigih dan ketahuilah bahawa masyarakat sentiasa menyokong anda.”
Pada 2024, sewaktu Kumpulan FairPrice julung kali melancarkan program agihan pek sarapan percuma ini, kesemua 12,000 pek telah habis ditebus dalam tempoh kurang dua hari.
Pada Julai, kumpulan itu turut mengumumkan bahawa seramai 4,500 belia berusia antara 12 dengan 18 tahun akan menerima kupon untuk menebus minuman protein di rangkaian kedai serbaneka terpilih di bawah Kumpulan FairPrice, Cheers, mulai 31 Julai hingga 31 Ogos.

