Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan melonggarkan lagi dasarnya untuk membenarkan penjaja mengambil pemegang pas lawatan jangka panjang (LTVP) atau LTVP-Plus dengan Surat Kebenaran (LOC) atau LOC pralulus untuk bekerja sebagai pembantu gerai mereka mulai 1 Januari 2025.
Langkah itu adalah untuk menangani masalah kekurangan pekerja dan memberi sokongan tambahan kepada peniaga di pusat penjaja yang diuruskan oleh NEA atau pengendali dilantik NEA.
Bercakap di Parlimen pada 14 Oktober, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, berkata pada masa ini, hanya warganegara Singapura dan Penduduk Tetap Singapura boleh menjadi penjaja atau bekerja sebagai pembantu penjaja di pusat penjaja yang diuruskan oleh NEA dan pengendali dilantik NEA.
“Langkah-langkah ini membantu untuk menjaga dan memelihara identiti budaya penjaja tempatan kita.
“NEA melaksanakan kelonggaran dengan membenarkan penjaja melantik pasangan mereka yang memegang LTVP atau LTVP-Plus dengan LOC atau LOC Pralulus sebagai pembantu penjaja, berdasarkan hubungan kekeluargaan mereka,” kata Dr Koh.
Encik Melvin Yong (AP Radin Mas) bertanya tentang purata sewa untuk gerai penjaja yang ditawarkan sepanjang dua tahun lalu, yang tidak termasuk gerai yang sewanya telah diselaraskan selepas tempoh penyewaan selama tahun.
Beliau juga mengemukakan soalan mengenai perancangan NEA untuk mengkaji semula tempoh penyewaan awal untuk tidak menggalakkan tawaran sewa yang tidak seimbang.
Dalam menjawab soalan Encik Yong, Dr Koh berkata NEA sedang mengkaji dasar berkaitan pusat penjaja untuk memastikan sistem kekal berkesan dan makanan yang dijual penjaja kekal dimampui.
Kira-kira satu dalam lima gerai makanan masak diberikan pada harga tender pada atau di bawah
$500 pada 2023.
Harga tender median yang berjaya ditawarkan untuk gerai makanan masak di seluruh pusat penjaja adalah kira-kira $2,000 pada 2022, dan $1,800 pada 2023.
“Walaupun beberapa gerai di lokasi popular telah menarik bida yang lebih tinggi, harga tender tersebut bukanlah norma,” kata Dr Koh.
Beliau juga berkata penjaja menghadapi pelbagai tekanan kos seperti kos bahan mentah dan tenaga kerja.
“NEA telah memberikan sokongan melalui langkah seperti program Pusat Penjaja Produktif (PHC) dan Geran Produktiviti Penjaja untuk membantu penjaja meningkatkan produktiviti dan mengurangkan pergantungan mereka pada tenaga kerja,” jelas Dr Koh mengenai bantuan untuk penjaja.
“Kami juga sedang mengkaji langkah sokongan lain untuk penjaja dan akan kongsi butiran apabila ia siap,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg