Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemeliharaan bangunan warisan dapat kekalkan identiti masyarakat
Pemeliharaan bangunan warisan dapat kekalkan identiti masyarakat
Hong Tat: Pemerintah turut kerjasama dengan kumpulan pencinta alam dan haiwan, serta relawan masyarakat dalam langkah pemuliharaan
Pemeliharaan bangunan warisan dapat kekalkan identiti masyarakat
Usaha memelihara dan menyuntik nafas baharu kepada bangunan warisan mampu menghidupkan semula masa lalu, sekali gus mengekalkan identiti serta memori bersama masyarakat, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, pada 15 Jun.
Encik Chee merujuk kepada beberapa daya usaha seperti perubahan bekas pasar basah Commonwealth Avenue menjadi Margaret Market; perancangan semula bekas bangunan Sekolah Perempuan Cina Singapura (SCGS) sebagai hab pelbagai fungsi; serta penerapan Rangka Kerja Penilaian Kesan Warisan (HIA).
Margaret Market, yang dirasmikan pada 15 Ogos 2023, merupakan jelmaan semula Pasar Basah dan Pusat Makanan Commonwealth Avenue yang dibina pada 1956.
Bangunan itu diwartakan untuk pemuliharaan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 2014.
Bekas premis SCGS di 37 Emerald Hill pula kini dibangunkan menjadi hab masyarakat dan gaya hidup sebagai sebahagian daripada usaha menyegarkan kawasan Orchard Road yang diumumkan pada awal 2026.
HIA, yang diperkenalkan pada 2022, berperanan menetapkan garis panduan penilaian kesan warisan dalam setiap proses perancangan pembangunan bandar.
Dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Bandar Sedunia 2026 di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, Encik Chee, berkata:
“Kami sedang menghidupkan semula kawasan kejiranan dengan memberikan nafas baharu kepada bangunan warisan yang menyimpan kenangan bersama masyarakat kita.
“Kami mahu memelihara dan meraikan unsur warisan ini kerana ia merupakan sebahagian penting daripada sejarah kita, memori bersama, serta jati diri kita sebagai rakyat Singapura.”
Namun, beliau akur usaha itu tidak boleh dilakukan oleh pihak pemerintah bersendirian, dan sebaliknya memerlukan kerjasama erat dengan rakyat dan sektor swasta.
Selain itu, pemerintah turut bekerjasama dengan kumpulan pencinta alam dan haiwan, serta sukarelawan masyarakat, untuk melibatkan penduduk dalam langkah pemuliharaan dan biodiversiti, tambah beliau.
Encik Chee turut berkata sebuah bandar yang boleh didiami memerlukan lebih daripada sekadar prasarana fizikal seperti bangunan, jambatan dan jalan raya.
Kehijauan serta ruang riadah perlu direka agar kesejahteraan rakyat dapat ditingkatkan, di samping memupuk rasa kemasyarakatan dan identiti yang lebih kukuh sebagai sebuah negara kota.
“Meskipun tanah amat terhad di Singapura, dan kita mempunyai banyak kegunaan yang saling bersaing untuk sumber yang sangat bernilai ini, kita telah melindungi lebih 7,800 hektar hutan simpanan semula jadi, taman dan koridor hijau di seluruh bandar dan kita menyasarkan untuk menambah lagi 1,000 hektar ruang hijau menjelang 2035.
“Taman-taman kita juga direka bentuk untuk mewujudkan ruang bagi masyarakat mengeratkan hubungan dan menjalin ikatan yang lebih kukuh antara satu sama lain di pelbagai kawasan di Singapura.
“Pendekatan ini membolehkan ruang hijau kita turut menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih sihat dan lebih berdaya tahan,” ujar Encik Chee.
