Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerancangan ruang bawah tanah lebih cekap bantu S’pura jimat kos
Perancangan ruang bawah tanah lebih cekap bantu S’pura jimat kos
Aliran kerja dipertingkat bagi selaras projek utiliti, teknologi ‘lihat’ bawah tanah bantu elak kos tidak diperlukan
Perancangan ruang bawah tanah lebih cekap bantu S’pura jimat kos
Satu pendekatan lebih berkesan yang telah diambil dalam perancangan ruang bawah tanah telah mengelakkan Singapura daripada membelanjakan anggaran $300 juta dalam kos kerja-kerja yang tidak diperlukan sepanjang dua tahun lalu, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.
Ini adalah hasil pelaksanaan aliran kerja dipertingkat oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) sejak 2024 untuk memantapkan lagi perancangan dan penyelarasan projek rangkaian utiliti bawah tanah.
Ini sekali gus memastikan konflik yang berpotensi berlaku dapat dikenal pasti dan diselesaikan lebih awal sebelum kerja-kerja pembinaan bermula, kata Encik Chee.
Rangkaian utiliti bawah tanah merujuk kepada prasarana yang dipasang bawah tanah, seperti saluran air dan kumbahan, serta kabel elektrik dan telekomunikasi.
Berucap di Forum Mayor Sidang Puncak Bandar Sedunia 2026 di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec pada 14 Jun, Encik Chee berkata pemerintah telah menyelaraskan kira-kira 272 kilometer koridor utiliti sejauh ini.
Oleh sebab Singapura memiliki kawasan tanah yang terhad, Encik Chee berkata usaha untuk memanfaatkan ruang bawah tanah dengan lebih baik adalah sangat penting.
Di bawah bandar Singapura, terdapat rangkaian prasarana utiliti yang padat dan kompleks, yang memerlukan perancangan serta penyelarasan yang teliti.
Namun begitu, oleh sebab pemilik utiliti yang berbeza merancang, memasang dan menyenggara aset mereka secara berasingan, konflik boleh berlaku dan kadangkala hanya dikesan semasa pembinaan, sekali gus mengakibatkan kelewatan, kos tambahan dan gangguan kepada projek.
“Cabaran ini menjadi lebih rumit memandangkan rekod utiliti bawah tanah sering kali disimpan secara berasingan dalam pelbagai sistem dan mungkin tidak sentiasa tepat.
“Akibatnya, kontraktor kerap kali perlu menjalankan siasatan eksplorasi bagi mengesahkan lokasi utiliti sedia ada sebelum memulakan kerja-kerja mereka.
“Perkara ini boleh menyebabkan pembukaan jalan raya secara berulang kali, yang menimbulkan kesulitan kepada orang awam, meningkatkan kos pembinaan dan memanjangkan tempoh projek,” kata Encik Chee.
Dalam usaha ‘melihat’ dengan lebih jelas apa yang berada di bawah tanah tanpa perlu melakukan kerja penggalian, Encik Chee berkata teknologi pengesanan utiliti bukan invasif kini digunakan.
Ini seperti pencari elektromagnet dan radar penembus tanah, yang dapat memberikan gambaran lebih jelas tentang apa yang ada di bawah tanah kepada pasukan projek dan mengurangkan keperluan melakukan kerja penggalian eksplorasi.
Encik Chee berkata bahawa pihaknya berhasrat memperluas penggunaan teknologi sedemikian.
Selain itu, pemerintah sedang mengumpulkan data dan membangunkan rekod digital yang lebih baik bagi ruang bawah tanah.
Sehubungan itu, Penguasa Tanah Singapura (SLA) sedang membangunkan sebuah laman berpusat bagi pasukan projek menghantarkan data utiliti dengan maklumat lokasi selepas kerja selesai dijalankan.
Laman tersebut sedang diuji bagi beberapa projek terpilih pada 2026 dan akan diperluas pada 2027, kata Encik Chee.
Beliau menambah bahawa SLA juga akan bekerja rapat dengan pihak berkepentingan industri untuk membangunkan sebuah rangka kerja tadbir urus untuk mempertingkat pengumpulan dan perkongsian maklumat utiliti bawah tanah.
“Hal ini memerlukan sokongan seluruh industri demi memastikan data utiliti bermutu baik dapat dirakam dan dihantar dengan tepat.
“Kami tahu bahawa banyak bandar lain sedang bergelut dengan cabaran yang sama – iaitu untuk membina satu gambaran boleh dipercayai, dikongsi tentang apa yang berada di bawah tanah.
“Usaha ini memerlukan pihak berkepentingan daripada seluruh ekosistem untuk bekerjasama dengan erat,” kata beliau.
