Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Pemergian ayah dan apa yang terjadi kemudian sangat pedih bagi PM Lee’

May 12, 2024 | 5:30 AM
Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong (barisan kedua, tengah); adiknya, Encik Lee Hsien Yang (barisan kedua, dua dari kiri); dan anggota keluarga lain semasa upacara persemadian mendiang Encik Lee Kuan Yew.
Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong (barisan kedua, tengah); adiknya, Encik Lee Hsien Yang (barisan kedua, dua dari kiri); dan anggota keluarga lain semasa upacara persemadian mendiang Encik Lee Kuan Yew. - Foto fail

Pemergian Encik Lee Kuan Yew serta apa yang berlaku menyusuli kematian tersebut merupakan peristiwa “sangat pedih” bagi Perdana Menteri (PM), Encik Lee Hsien Loong, kata Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.

Encik Lee merupakan anak sulung tiga beradik kepada mendiang Encik Lee Kuan Yew – Perdana Menteri pertama Singapura –  yang meninggal dunia pada Januari 2015 pada usia 91 tahun.

“Beliau (Encik Lee) merupakan seorang yang sangat tabah, beliau pernah melalui isu-isu kesihatan dan telah berjaya mengatasinya,” kata Encik Teo, membuka cerita tentang apa yang pada pendapatnya antara detik paling sukar perlu dilalui Encik Lee.

“Saya fikir pemergian ayahnya dan apa yang berlaku setelah itu amat sukar baginya. Ia sangat pedih baginya, terutama perselisihan yang sangat terbuka mengenai Oxley Road,” kata Encik Teo.

Rumah di 38 Oxley Road – rumah peninggalan mendiang Encik Lee – merupakan perkara yang menjadi perbalahan Encik Lee dan dua adiknya, Dr Lee Wei Ling dan Encik Lee Hsien Yang.

Dr Lee dan Encik Lee Hsien Yang mengeluarkan kenyataan pada waktu itu menyatakan mereka hilang keyakinan terhadap abang mereka dan mendakwa bahawa Encik Lee mahu rumah itu dipelihara dan bukan dirobohkan seperti yang dikehendaki bapa mereka, demi kepentingan politiknya.

Encik Lee menyangkal tuduhan mereka dan menimbulkan rasa was-was terhadap penyediaan wasiat arwah bapa mereka.

Pertikaian tersebut heboh diperkatakan, malah turut dibincangkan di Parlimen. Namun, Encik Lee telah menarik diri daripada perdebatan dan keputusan berkaitan isu itu.

Encik Teo, dalam mengenang kejadian tersebut, berkata:

“Saya sudah lama mengenalnya (Encik Lee) dan beliau dapat memisahkan perkara peribadi daripada apa yang baik untuk negara – itulah sebabnya beliau menarik diri. 

“Beliau meminta saya menyelia perkara itu. Dalam mengawasi perkara itu, saya mengusahakannya dengan cara yang dijangkakan di Singapura, iaitu secara objektif dan juga demi kepentingan terbaik negara dan dalam hal ini juga cuba memahami dan menghormati pandangan (mendiang) Encik Lee. 

“Tetapi PM sangat jelas – beliau tidak akan terlibat dalam keputusan itu.”

Encik Teo berkata bahawa selain mengenali Encik Lee bagi tempoh yang sangat lama, beliau juga mengenali Encik Lee Hsien Yang bagi masa yang lama.

Ini kerana mereka pernah bekerjasama ketika dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Malah, Encik Teo berkata beliau telah menggalakkan Encik Lee Hsien Yang supaya kekal dan terus menyumbang kepada Singapura setelah Encik Lee meninggalkan SAF kerana beliau merupakan “seorang yang sangat berkebolehan”.

Berhenti sejenak, Encik Teo menambah: “Apa yang boleh saya katakan, selama ini, PM tetap sama, dari segi kelakuannya, cara beliau menangani isu. 

“Namun saya agak sedih melihat perubahan pada Hsien Yang.”

Pun begitu, Encik Teo berkata Encik Lee telah menangani isu tersebut dengan cara beliau menangani mana-mana isu lain iaitu dengan memisahkan hal peribadi dengan perkara yang menjejas negara.

“Itulah yang dilakukannya dan beliau telah melakukannya dengan cara yang sangat sesuai,” ujar Encik Teo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg