SPH Logo mobile
Langgan|

Pemergian isteri bak hilangnya tonggak kehidupan

Pemergian isteri bak hilangnya tonggak kehidupan

May 28, 2025 | 9:09 PM

Pemergian isteri bak hilangnya tonggak kehidupan

wan hussin zoohri, fatimah mahmood, isteri, meninggal, faishal ibrahim
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim (kanan) menyapa Encik Wan Hussin Zoohri dan mengucapkan salam takziah atas pemergian arwah isterinya, Allahyarhamha Fatimah Mahmood. - Foto INSTAGRAM MUHAMMAD FAISHAL IBRAHIM

Hilangnya tonggak kehidupan dan teman hidup.

Demikian apa yang disifatkan Encik Wan Hussin Zoohri setelah pemergian isteri tersayang, Allahyarhamha Fatimah Mahmood.

Mantan Anggota Parlimen (AP) Kampong Ubi dan GRC Aljunied itu berkata arwah merupakan penyokong tegarnya tatkala beliau berkhidmat kepada masyarakat ketika menggalas jawatan itu.

Apatah lagi sebagai suri rumah sepenuh masa dalam memastikan keempat-empat anak membesar dengan penuh berdisiplin.

Ketika ditemui di kediamannya di Sunrise Drive pada 28 Mei, Encik Wan Hussin, 87 tahun, berkata:

“Beliau seorang yang aktif dan pantas dalam melakukan kerja rumah.

“Arwah menjaga anak-beranak dengan penuh baik, meskipun dengan adanya pembantu. Beliaulah yang memberi bimbingan (kepada anak-anak).”

Encik Wan Hussin berkata Allahyarhamha Fatimah, 82 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada 27 Mei setelah menghidap barah saluran hempedu sejak hujung April 2025.

Allahyarhamha dan Encik Wan Hussin dikurniakan empat anak – anak bongsu, Wan Imran, meninggal dunia pada 17 Jun 2012 ekoran serangan jantung – enam orang cucu dan seorang cicit.

Dalam satu hantaran di Instagram, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menyampaikan ucapan takziah atas pemergian arwah.

Beliau, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), menyatakan demikian selepas menyantuni Encik Wan Hussin di kediamannya pada 28 Mei.

Encik Wan Hussin, yang memulakan kerjaya sebagai guru pada 1957, berkata beliau pertama kali bertemu arwah tatkala mengajar di Sekolah Menengah Sang Nila Utama sekitar 1960-an.

Ketika itu, arwah merupakan pelajar di sekolah tersebut.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 1965 dan sejak itu, arwah menjadi tulang belakang kepada apa jua yang diceburi Encik Wan Hussin, baik dari segi penglibatan masyarakat mahupun dalam arena politik, jelasnya.

“Sungguhpun beliau tidak campur tangan (dalam tugasan saya), saya yakin beliau sentiasa memberi sokongan kukuh dan berada di sisi,” ujar beliau.

Malah peranan Allahyarhamha Fatimah begitu ketara dalam kehidupan Encik Wan Hussin, sehinggakan beliau menulis buku setebal 280 halaman berjudul, Memories and Musings, pada 2012, yang merupakan dedikasinya buat si isteri.

Beliau menyifatkan Allahyarhamha Fatimah gemar bercucuk tanam dan menyatakan tanaman di sekitar pekarangan rumahnya ditanam sendiri oleh arwah.

Allahyarhamha selamat dikebumikan di Pusara Aman sebelum tengah hari pada 28 Mei.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg