Hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga.
Begitulah gambaran untuk insan yang banyak berkorban dan berjasa tanpa memikirkan kepentingan diri sendiri. Individu tersebut ialah Pengurus Besar Tabung Amal Aidilfitri (TAA), Encik Mohammad Yahya Zakaria Attia, 74 tahun. Beliau telah bersara pada lewat Februari 2025 lalu, setelah bertugas sepenuh masa di TAA sejak 2008.
Perjalanan Encik Yahya agak panjang dan pernah bekerja rapat dengan mantan-mantan pengerusi TAA seperti Encik Sidek Saniff dan Encik Wan Hussin Zoohri. Bermula sebagai seorang sukarela, beliau kemudian diundang menjadi kakitangan sepenuh masa pada 8 Ogos 2008.
Mengimbau kembali kisahnya, Encik Yahya berkata:
“Saya telah dijemput menjadi kakitangan sepenuh masa TAA sebagai pengurus. Waktu itu, Pengerusi TAA ialah Encik Zulkifli Mohammed. Ketua Exco pula Encik Anuar Yusop.
“Kami banyak memulakan daya usaha mengumpul dana, seperti menganjurkan kejohanan golf. Itu pengalaman pertama saya tanpa sebarang pengetahuan mengendalikannya. Mujur Encik Anuar membimbing saya. Ia seperti satu pengalaman pukulan hole-in-1.”
Pelbagai pengalaman pahit manis, perubahan dan penakatan dalam TAA yang dirasakan oleh Encik Yahya. Beliau berasa amat beruntung dapat mengenali dan bekerja rapat secara profesional dengan Pemegang Amanah selama lebih 30 tahun seperti Encik Zulkifli Mohammed, Encik Ameerali Abdeali dan Encik Izzuddin Taherally. Nasihat mereka sentiasa terpahat di hatinya.
“Saya sering diingatkan oleh ‘Tuan Setiausaha’ supaya ‘Tolong jaga TAA’. Tiga perkataan ini amat bermakna bagi saya. Sekarang, saya ingin pesan kepada pengganti saya, Cik Huda Aljunied, dengan mesej yang sama, ‘Tolonglah, jaga TAA’,” jelas Encik Yahya.
Beliau menambah:
“Penerima dana TAA adalah keutamaan kami. Semua kempen TAA dan usaha pengumpulan dana kami ditujukan kepada penerima dana ini. Saya rasa bertuah sebab diberi peluang berkhidmat kepada mereka dan mereka adalah sebahagian daripada kehidupan saya hari ini.”
Mantan Ketua Exco TAA, Encik Muhammad Harmizan Abdul Hamid, memberikan pandangan beliau tentang kerja keras Encik Yahya.
“Dedikasi Encik Yahya kepada masyarakat melangkaui tugas hariannya ketika memimpin urusetia TAA. Beliau telah memberi sumbangan yang besar kepada TAA dan meletakkan asas untuk pembangunannya.
“Beliau memainkan peranan penting dalam memberikan bimbingan dan sokongan sepanjang enam tahun (2014 hingga 2020) semasa saya menjadi Ketua Jawatankuasa Esekutif TAA. Seorang individu yang jarang cakap banyak tetapi sentiasa memberikan yang terbaik,” jelas Encik Muhammad Harmizan.
Salah seorang penerima mapan yang juga sukarelawan TAA sejak 2010, Cik Suhana Suhaimi, berkata:
“Encik Yahya seorang yang tenang, berusaha kuat dalam membantu masyarakat. Dalam menjalankan tugasnya, beliau berpegang teguh dari aspek amanah dan kepercayaan. Begitu yang beliau harapkan kejujuran sukarelawan yang membawa tabung-tabung dana TAA.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg