Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemeriksaan ketumpatan tulang, otot bagi wanita bakal ditawar menerusi SG Lebih Sihat
Pemeriksaan ketumpatan tulang, otot bagi wanita bakal ditawar menerusi SG Lebih Sihat
Golongan wanita akan dapat mengakses pemeriksaan ketumpatan tulang (bone density) dan otot dengan lebih mudah. Pada masa yang sama, pelbagai sumber bakal disediakan bagi membantu mereka menguatkan tulang serta membina otot, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 6 Oktober.
Ujian pemeriksaan berkenaan akan ditawarkan menerusi program kesihatan pencegahan nasional, SG Lebih Sihat, kata Encik Ong, sambil menegaskan kepentingan kesihatan wanita dalam agenda negara.
Berucap dalam majlis anugerah tahunan Her World Women of the Year, Encik Ong berkata butiran lanjut mengenai daya usaha tersebut diharap dapat diumumkan “dalam masa terdekat”.
Golongan wanita, terutamanya selepas menopaus, lebih berisiko terdedah kepada osteoporosis dan sarkopenia iaitu keadaan di mana tisu tulang dan jisim otot semakin berkurangan seiring dengan peningkatan usia.
Pada majlis yang berlangsung di hotel METT Singapore itu, Encik Ong menegaskan selagi keadaan fizikal wanita berbeza berbanding lelaki, agenda kesihatan mereka mesti terus diberi perhatian khusus.
Di bawah garis panduan pemeriksaan baharu yang dikeluarkan Jawatankuasa Semakan Ujian Pemeriksaan pada 2026, golongan wanita berusia daripada 50 tahun atau selepas menopaus – mana-mana yang tiba lebih awal – disyorkan menjalani ujian pemeriksaan osteoporosis serta penilaian risiko.
Sebelum ini, tiada sebarang syor pemeriksaan dikeluarkan bagi orang awam bagi osteoporosis, iaitu penyakit yang meningkatkan risiko tulang patah berpunca daripada kemerosotan tisu tulang.
Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, turut menceritakan detik permulaan satu lagi perubahan dasar baru-baru ini yang membawa manfaat besar kepada golongan wanita.
Dasar tersebut melibatkan peluasan subsidi bagi ujian genetik barah buah dada dan ovari keturunan (HBOC), yang bakal dikuatkuasa mulai Disember.
Ia bermula apabila beliau bertanyakan kementeriannya mengapa pembedahan mastektomi pencegahan tidak boleh dituntut di bawah insurans bagi mereka yang berisiko tinggi menghidap barah buah dada.
Jawapan yang diterima ialah prosedur berkenaan merupakan rawatan pencegahan, sedangkan tuntutan insurans hanya dibenarkan bagi rawatan penyembuhan.
Kini, menerusi daya usaha itu, sehingga 70 peratus daripada kos ujian genetik tertentu yang diluluskan akan disubsidi bagi warga Singapura dan penduduk tetap (PR) yang layak, manakala baki kos boleh dibayar menggunakan MediSave mereka.
Selain subsidi berkenaan, Kementerian Kesihatan (MOH) turut meluaskan perlindungan MediShield Life bagi mastektomi pengurangan risiko pada suku ketiga 2026.
Menjelang suku keempat, perlindungan itu bakal diperluas kepada pembedahan membuang tiub Fallopio dan ovari bagi individu yang didapati positif HBOC.
Sesi kaunseling genetik juga akan ditawarkan kepada golongan wanita sebelum dan selepas mereka menjalani ujian genetik berkenaan.
Bagi mereka yang didapati positif, ujian genetik tersebut turut akan ditawarkan kepada ahli keluarga terdekat mereka.
Perkembangan baharu ini diumumkan pada 2026, yang disifatkan oleh Encik Ong sebagai tahun yang istimewa buat golongan wanita bagi dirinya.
Antara lain, beliau menyandang peranan sebagai pengerusi bersama Lembaga Perikatan Global bagi Kesihatan Wanita di bawah Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Di samping meletakkan kesihatan wanita dalam agenda utama, Encik Ong turut menegaskan bahawa selagi peranan wanita dalam masyarakat dilihat berbeza berbanding lelaki, pemerintah di serata dunia perlu terus membina sistem, struktur dan rangkaian untuk menyokong wanita mengimbangi peranan mereka yang pelbagai.
“Selagi dua faktor (fizikal dan peranan sosial) di atas terus wujud, acara seperti ini tetap relevan untuk kita meraikan pencapaian wanita, supaya anak gadis yang melihat penerima anugerah Woman of the Year mendapat inspirasi tentang apa yang mampu dicapai apabila mereka dewasa kelak,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DBS, Cik Tan Su Shan, 58 tahun, dinobatkan sebagai penerima anugerah Woman of the Year Her World 2026, manakala pejuang alam sekitar, Cik Kong Man Jing, 32 tahun, menerima Anugerah Pencapaian Wanita Muda Her World 2026.