Satu program latihan baru untuk memupuk generasi pemimpin persatuan masyarakat akan dilancar, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Semasa menyampaikan ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) dalam bahasa Mandarin di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, di Ang Mo Kio, pada 17 Ogos, PM Wong berkongsi bahawa inisiatif ini bertujuan menangani cabaran yang dihadapi oleh banyak persatuan suku kaum dan persatuan lain, termasuk pembaharuan kepimpinan dan kekangan sumber.
“Kami mendapati bahawa banyak persatuan suku kaum menghadapi cabaran dalam pembaharuan kepimpinan dan mempunyai kekangan sumber.
“Kami akan membantu mereka mengatasi cabaran ini dan memastikan persatuan tersebut terus berkembang, supaya mereka dapat terus menyumbang kepada masyarakat,” kata beliau.
PM Wong menyatakan bahawa beliau telah melantik Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, sebagai pengerusi Kumpulan Perhubungan Masyarakat Cina (CCLG).
Ditubuhkan pada 2000, kumpulan tersebut ditugaskan untuk mengukuhkan hubungan antara pemerintah dengan masyarakat Cina dan mempererat kerjasama dalam kalangan pelbagai kumpulan masyarakat Cina.
Di bawah kepimpinannya, kumpulan tersebut akan melancarkan program latihan baru untuk memupuk generasi pemimpin persatuan suku kaum Cina akan datang, serta bekerjasama dengan persatuan bagi terus membantu pendatang baru menyesuaikan diri dalam masyarakat.
Mengulas tentang sejarah persatuan suku kaum Cina di Singapura, PM Wong berkongsi bagaimana ramai pemimpin dan ahli perniagaan Cina pada zaman penjajahan telah menderma wang dan sumber mereka dengan murah hati, yang membantu meletakkan asas kukuh bagi pembangunan Singapura.
“Mereka menubuhkan persatuan suku kaum dan persatuan lain, membina sekolah dan hospital, serta menubuhkan pertubuhan kebajikan yang masih aktif hingga kini, memberi manfaat kepada rakyat Singapura daripada semua kaum,” ujar beliau.
Selain itu, PM Wong mengetengahkan usaha masyarakat Cina dalam memupuk semangat kekitaan terhadap Singapura menerusi buku teks sekolah.
Ini dengan memasukkan elemen budaya Nanyang, untuk menggantikan bahan pengajaran daripada China dan Hong Kong sejak 1930-an.
Menurut beliau, ia telah memberi kesan yang mendalam terhadap pembangunan Singapura selepas kemerdekaan.
“Kita dapat melihat bahawa sejak kira-kira satu abad yang lalu, masyarakat Cina telah mengambil inisiatif untuk memartabatkan identiti tempatan.
“Ia bukan sahaja membolehkan kita membina keyakinan dan rasa bangga terhadap identiti budaya sendiri, malah meletakkan asas bagi masyarakat Cina untuk menyokong dasar-dasar yang memupuk Singapura yang berbilang kaum dan berbilang budaya,” jelas beliau.
Oleh itu, beliau menjelaskan bahawa orang Cina Singapura kini mempunyai rasa identiti tersendiri.
“Walaupun mereka berada jauh daripada Singapura, mereka tetap tidak melupakan bahawa mereka adalah rakyat Singapura,” tambah PM Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg