Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hong Tat dilantik pengerusi baru Kumpulan Perhubungan Masyarakat Cina

May 23, 2025 | 9:15 PM
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Perhubungan Masyarakat Cina (CCLG).
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Perhubungan Masyarakat Cina (CCLG). - Foto fail

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah melantik Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, sebagai pengerusi Kumpulan Perhubungan Masyarakat Cina (CCLG).

Berkuat kuasa mulai 23 Mei, beliau akan mengambil alih jawatan tersebut daripada Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong.

Ditubuhkan pada 2000, kumpulan tersebut ditugaskan untuk mengukuhkan hubungan antara pemerintah dengan masyarakat Cina dan mempererat kerjasama dalam kalangan pelbagai kumpulan masyarakat Cina.

Ia juga terdiri daripada pemegang jawatan politik serta Anggota Parlimen.

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan media pada 23 Mei, PM Wong merakamkan penghargaan kepada Encik Tong atas khidmat dan sumbangan beliau sepanjang lima tahun mempengerusikan kumpulan tersebut.

Di bawah kepimpinannya sejak November 2020, CCLG telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh keterlibatan pemerintah dengan masyarakat Cina, termasuk semasa pandemik Covid-19.

“Sepanjang lima tahun yang lalu, dan bersama ahli-ahli CCLG, Encik Tong telah banyak menyumbang dalam usaha melibatkan masyarakat Cina.

“Semasa pandemik Covid-19, beliau dan ahli-ahli CCLG bekerjasama dengan pertubuhan masyarakat Cina utama untuk mengenal pasti cara-cara inovatif bagi mengekalkan hubungan bersama anggota masyarakat Cina dan memberikan sokongan kepada segmen yang terjejas,” kata PM Wong.

Beliau turut memuji peranan Encik Tong dalam membantu menyelesaikan pertikaian antara Teochew Poit Ip Huay Kuan dan Ngee Ann Kongsi berhubung pelan pembangunan semula Bangunan Teochew yang bersejarah.

Menurut kenyataan PMO itu, Encik Tong akan terus berkhidmat sebagai penasihat kepada CCLG.

Mengenai pengerusi baru CCLG, PM Wong rasa yakin terhadap Encik Chee dalam menggalas jawatan tersebut memandangkan beliau telah menjadi anggota kumpulan itu sejak 2015.

“Encik Chee telah aktif melibatkan diri dengan masyarakat Cina dan sering berinteraksi dengan pelbagai segmen, khususnya pertubuhan klan dan persatuan perniagaan.

“Saya yakin bahawa Encik Chee akan meneruskan usaha baik CCLG dan memperdalam lagi hubungan antara pemerintah dengan masyarakat Cina,” ujar PM Wong.

Mentelah lagi, PM Wong berkongsi bahawa beliau menantikan kerjasama erat antara Encik Chee dan pertubuhan utama masyarakat Cina dalam memperkukuh usaha pembaharuan kepimpinan agar pertubuhan-pertubuhan berkenaan kekal relevan dan dinamik.

Sebelum ini, Encik Ong Ye Kung, yang ketika itu Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran), telah dilantik sebagai pengerusi CCLG pada 1 Ogos 2017.

Encik Ong telah berkhidmat dalam jawatan tersebut sekitar tiga tahun, sebelum diambil alih oleh Encik Tong yang ketika itu Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia pada 12 November 2020.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg