Pemerintah akan sediakan segala sumber, teknologi agar Home Team berkesan
Pemerintah akan sediakan segala sumber, teknologi agar Home Team berkesan
Pemerintah akan sediakan segala sumber, teknologi agar Home Team berkesan
Singapura akan memanfaatkan teknologi, baik di dalam mahupun luar negara, untuk memastikan Home Team berkesan, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
Beliau juga berkata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) terus mengekalkan hubungan kukuh dengan negara lain, termasuk memanfaatkan teknologi baru daripada mereka, baik untuk latihan atau operasi.
Encik Wong berkata demikian semasa lawatannya ke Pusat Polis Kejiranan Punggol dan Balai Bomba Punggol pada 4 April.
Dengan ancaman baru seperti jenayah siber dan jenayah yang diperkasakan teknologi, yang semakin kerap berlaku, keupayaan Singapura juga perlu dipertingkat, ujar beliau.
“Tidak semua teknologi perlu dibangunkan di dalam negara. Kami sudah tentu ingin mengasah dan membangun serta memastikan sebahagian daripadanya dihasilkan di Singapura.
“Tetapi kita juga belajar daripada yang terbaik di pelbagai tempat dan dalam hal-hal melibatkan pertahanan awam dan polis, dengan mereka terus menjalin hubungan kukuh dengan negara luar,” kata beliau.
Menurut Encik Wong, kedua-duanya, pertahanan awam dan polis, memilih amalan terbaik dan belajar pelbagai bidang, serta bertukar-tukar pandangan dengan rakan sejawat mereka dari luar negara.
Ini termasuk menggabungkan teknologi baru daripada mereka.
“Dengan semua ancaman baru yang terus berlaku, keupayaan kita perlu ditingkatkan dan sentiasa beri tumpuan untuk manfaatkan teknologi terbaik bagi memastikan kita mempunyai pasukan Home Team yang berkesan,” tambahnya.
Semasa lawatannya, Encik Wong diberi taklimat mengenai beberapa keupayaan latihan dan operasi terkini SPF dan SCDF. Antaranya, Keupayaan Menentang Dron dan Kereta Respons Pantas Generasi Baru (NGFRC) oleh SPF.
Untuk menangani dron yang tidak diingini, SPF dan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) telah membangunkan sistem antidron untuk mengesan dan menyekat ancaman itu.
NGFRC pula direka khas dengan pelbagai sistem canggih termasuk skrin yang menggabungkan maklumat penting, sistem rakaman video dalam kenderaan, serta sistem mengenal pasti nombor plat.
Dalam pada itu, SCDF juga mengenalkan pembaharuan yang dibangunkan mereka, seperti bilik darjah pintar yang dilengkapi dengan sistem latihan realiti maya (VR) dan realiti lanjutan (XR), bantuan pernafasan kecemasan berprestasi tinggi (HPCPR), dan tangga pam elektrik E-PL.
Bilik Darjah Pintar SCDF direka untuk meningkatkan pengalaman latihan anggota balai bomba dengan penggunaan teknologi bagi memastikan latihan yang lebih cekap dan berkesan.
HPCPR pula memberi tumpuan kepada teknik menekan dada yang lebih berkesan untuk memastikan aliran darah ke organ penting.
E-PL adalah kenderaan pemadam api elektrik sepenuhnya pertama di Asia Tenggara. Ia mampu meningkatkan kecekapan operasi sambil mengutamakan kemampanan.
Pada akhir lawatan tersebut, Encik Wong berkata:
“Ketika saya membuat lawatan sebentar tadi, saya berasa yakin melihat tumpuan pegawai terhadap misi mereka, dan saya juga memberi jaminan kepada mereka bahawa pemerintah akan terus menyokong, membantu serta menyediakan segala sumber yang mereka perlukan untuk menjalankan tugas dengan berkesan.”

