Pegawai Home Team adalah tunjang keselamatan dan sekuriti Singapura, dan rakyat negara ini mempunyai tahap kepercayaan tinggi terhadap mereka, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Bercakap kepada wartawan ketika melawat Pusat Polis Kejiranan Punggol dan Balai Bomba Punggol pada 4 April, Encik Wong menambah bahawa Singapura memberi tumpuan bukan kepada keselamatan dan sekuriti negara sendiri sahaja, bahkan sedia membantu negara jiran apabila mereka memerlukan.
Kunjungan pada 4 April itu merupakan lawatan rasmi pertama Encik Wong ke Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sejak menjadi Perdana Menteri.
Beliau diiringi Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dan Timbalan/Pemangku Pesuruhjaya SPF, Encik How Kwang Hwee, dan Pesuruhjaya SCDF, Encik Eric Yap.
Encik Wong melahirkan penghargaannya kepada anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang bersedia membantu mangsa gempa bumi di Myanmar, termasuk pegawai Islam yang mengorbankan sambutan Hari Raya bersama keluarga mereka.
Apabila ditanya wartawan Berita Harian (BH) mengenai kepentingan Home Team dalam misi kemanusiaan seperti gempa di Myanmar, Encik Wong berkata:
“Pegawai Pasukan Home Team ditugaskan bukan sahaja untuk memastikan keselamatan Singapura, yang merupakan misi utama mereka, malah kini, dari masa ke masa, mereka juga berpeluang menyertai misi bantuan kemanusiaan.
“Saya percaya ia membawa makna yang besar apabila kita menunjukkan bahawa di Singapura, kita menumpukan perhatian bukan sahaja kepada keselamatan dan sekuriti negara – meskipun itu penting dan akan sentiasa menjadi keutamaan – bahkan, kita juga bersedia memainkan peranan untuk membantu dan menyokong jiran serantau kita apabila mereka memerlukan.”
Encik Wong menambah bahawa, seperti Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), pegawai Home Team adalah tunjang keselamatan dan sekuriti Singapura.
“Mereka bekerja tanpa mengenal lelah, sering kali di belakang tabir, untuk menangani pelbagai ancaman, baik yang kelihatan mahupun tidak.
“Dalam dunia yang mencabar hari ini, keselamatan Singapura bukanlah sesuatu yang boleh kita ambil mudah. Ia menjadi kenyataan kerana komitmen, dedikasi, dan usaha gigih pasukan keselamatan kita,” katanya.
Encik Wong turut berkata suasana global kini lebih mencabar serta tidak menentu, umpamanya dengan wujudnya kumpulan pengganas di luar negara dan individu tempatan yang radikal secara sendiri, jenayah siber dan penipuan.
Lantas, keselamatan dan keamanan bagi Singapura adalah sesuatu yang tidak boleh diambil ringan.
“Justeru, kita harus terus melabur dalam keupayaan kita serta mengekalkan tahap kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap pasukan keselamatan dan pertahanan kita.
“Pemerintah akan terus melabur dalam keupayaan kita untuk memberi respons lebih berkesan terhadap pelbagai ancaman ini,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa pemerintah akan memberi tumpuan dalam memanfaatkan teknologi terbaik agar dapat menghasilkan sebuah Home Team yang berkesan.
Semasa lawatannya, Encik Wong turut diberi pencerahan mengenai beberapa keupayaan latihan dan operasi terkini SPF dan SCDF.
Antaranya, Keupayaan Menentang Dron dan Kereta Respons Pantas Generasi Baru (NGFRC) oleh SPF.
SCDF juga mempamerkan pembaharuan mereka, seperti bilik darjah pintar yang dilengkapi dengan sistem latihan realiti maya (VR) dan realiti lanjutan (XR), bantuan pernafasan kecemasan yang berprestasi tinggi, dan tangga pam elektrik.
Tahun ini, 2025, juga akan menyaksikan sambutan ulang tahun yang ke-50 Polis Perkhidmatan Negara (PNS) sepenuh masa sejak ia ditubuhkan pada 24 Julai 1975.
Ketika itu, SPF menerima kumpulan pertama, yang terdiri daripada 200 pegawai Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa dan kini, angka tersebut terus meningkat.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama SPF dan SCDF pada 4 April, ia berkata:
“Pada masa ini, terdapat lebih daripada 43,000 anggota NSmen yang bersedia beroperasi dalam Home Team dan lebih daripada 7,000 yang sedang berkhidmat sepenuh masa dengan SPF dan SCDF.”
Ia menambah seiring dengan perkembangan cabaran pada tahun-tahun sebelumnya, SPF dan SCDF terus meningkatkan latihan dan persiapan operasi untuk memastikan NSmen kekal sebagai tonggak utama keselamatan dan sekuriti negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg