Pemerintah akan mempergiat langkah pendidikan awam untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya vape agar warga Singapura tidak terjebak dengan tabiat berbahaya itu, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 28 Ogos.
Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk membawa mesej antivape dalam bahan pendidikan dan program pencegahan, serta menyediakan sumber untuk ibu bapa.
Bercakap di sidang media bersama pada 28 Ogos, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, menggesa pengguna vape dan etomidate, atau Kpod, agar berhenti menggunakan vape dan mendapatkan bantuan serta-merta jika perlu.
“Mereka boleh memberi diri mereka peluang kedua melalui program yang kami panggil QuitVape.
“Ini dikendalikan oleh rakan kongsi masyarakat seperti Khidmat Masyarakat We Care, Sana (Persatuan Anti-Narkotik Singapura), Thye Hua Kwan Moral Charities dan Khidmat Masyarakat Fei Yue.
“Oleh itu, tampil ke hadapan jika anda seorang pengguna vape atau etomidate.
“Hubungi mereka, beritahu mereka anda mahu berhenti vape atau etomidate, dan mereka akan membantu anda menangani ketagihan itu.
“Mereka tidak perlu melaporkan kes tersebut kepada MOH atau CNB (Biro Narkotik Pusat),” kata Encik Ong.
Orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan untuk berhenti merokok dan menghisap vape daripada talian Quitline HPB di 1800-438-2000.
Mereka yang secara sukarela mendapatkan bantuan tidak akan berdepan sebarang penalti atau mempunyai rekod kesalahan, kata MOH dan MHA.
Bagaimanapun, jika individu itu ditangkap secara berasingan kerana menggunakan vape, penalti di bawah pelbagai undang-undang akan dikenakan dan akan ada rekod kesalahan, tambahnya.
Sokongan juga akan diberikan kepada pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Home Team yang memerlukan bantuan untuk menghentikan penggunaan vape.
“Kakitangan perkhidmatan SAF boleh menghubungi Komander dan Pegawai Perubatan mereka untuk mendapatkan bantuan, atau menghubungi Talian Kaunseling SAF (24 Jam) di 1800-278-0022.
“Pegawai Home Team dan NSF (Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa) yang ingin mendapatkan bantuan berhenti merokok atau vape boleh mendapatkan bantuan profesional di pusat dan klinik perubatan Home Team.
“Kakitangan perkhidmatan yang ingin mendapatkan sokongan pemberhentian akan diberikan peralatan, kaunseling dan sokongan yang diperlukan untuk pulih,” kata MOH dan MHA.
Ibu bapa juga boleh mengakses sumber dan maklumat berkaitan di Hab Ibu Bapa dan laman web Families for Life, termasuk tentang cara memulakan perbualan dengan anak mereka tentang vape.
HPB juga mendidik belia tentang bahaya vape dan menyediakan sumber sokongan pemberhentian melalui kempen, Don’t Toy With Your Life, yang dilancarkan pada Jun.
Laman mikro gov.sg/stopvaping turut dilancarkan pada 18 Ogos, menyediakan maklumat tentang bahaya vape serta sumber, talian bantuan dan saluran pelaporan untuk orang ramai.
Tong pelupusan vape akan terus tersedia untuk orang ramai membuang vape secara sukarela di lokasi terpilih, seperti di tempat program pemulihan dan di tempat program QuitVape ditawarkan.
Tong sampah bagi pelupusan vape, yang sebelum ini diletakkan di kelab masyarakat dan pusat rangkaian penduduk serta institut pengajian tinggi (IHL), tidak akan diteruskan mulai 31 Ogos.
Semasa sidang media itu, Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, juga berkata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan mempergiatkan usaha pendidikan.
Ini termasuk memberitahu pekerja asing dan pembantu rumah asing mengenai bahaya dan akibat undang-undang penggunaan vape.
“MOM akan menyebarkan bahan-bahan pendidikan ini dalam bahasa Ibunda pekerja asing melalui saluran jangkauan, termasuk aplikasi FWMOMCare dan saluran WhatsApp pekerja asing.
“Kami juga akan bekerjasama dengan pengendali asrama, majikan dan badan-badan bukan pemerintah untuk berkongsi dan menguatkuasakan mesej ini,” kata Encik Dinesh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg