Program pemulihan sedia ada bagi pesalah dadah remaja berisiko rendah tidak lama lagi akan diperluaskan kepada penyalah guna etomidate atau Kpod remaja kali pertama dan kedua.
Ia merupakan sebahagian usaha pemerintah dalam menyokong belia agar berhenti menggunakan vape.
Remaja yang ditangkap buat kali pertama akan menjalani program pemulihan selama tiga bulan, dengan sehingga 10 sesi campur tangan, di bawah Skim Pengawasan Dipertingkatkan Belia (Yes), sebuah program pemulihan berstruktur yang dikendalikan oleh agensi perkhidmatan sosial (SSA).
Mereka yang ditangkap buat kali kedua akan menjalani program pemulihan itu selama enam bulan, dengan sekurang-kurangnya 16 sesi campur tangan, dan akan diletakkan di bawah pengawasan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) selama enam bulan, bagi memastikan mereka kekal bebas dadah.
Demikian diumumkan Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua, pada 28 Ogos semasa sidang media bersama.
Beliau turut menggariskan usaha kementeriannya untuk menangani vape.
“Program pemulihan ini terbukti berkesan setakat ini dengan kadar pelengkapan program sebanyak 94 peratus dan kadar residivisme (mengulangi jenayah) dua tahun yang rendah iaitu 9.2 peratus pada 2023.
“Kami akan melanjutkan program pemulihan ini kepada penyalah guna etomidate remaja kali pertama dan kedua tetapi kami akan membezakan program ini berdasarkan keperluan,” kata Encik Chua.
Di bawah program itu, pegawai kes akan membantu belia memahami kesan penyalahgunaan bahan, meningkatkan motivasi mereka supaya mengubah tingkah laku dan melengkapkan mereka dengan kemahiran baru agar berhenti daripada penyalahgunaan dadah.
Pegawai Institut Kesihatan Mental (IMH) juga akan menyediakan sokongan telekesihatan sekiranya golongan belia memerlukan bantuan perubatan untuk mengatasi ketagihan.
“Kami akan melibatkan anggota keluarga dan penjaga belia dalam proses pemulihan.
“Ini adalah perkara penting terutama bagi pesalah berulang, kerana orang tersayang memainkan peranan yang amat mustahak dalam proses pemulihan dan penyembuhan,” tambah Encik Chua.
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) juga akan melengkapi ibu bapa dengan sumber dan kemahiran melalui panduan sumber untuk ibu bapa.
Ia juga akan menjalankan webinar dan ceramah untuk membantu ibu bapa mengadakan perbualan terbuka dengan anak-anak, mengesan tanda menghisap vape dan cara mendapatkan bantuan untuk anak-anak, tambahnya.
Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 28 Ogos mengumumkan individu yang ditangkap memiliki, menggunakan atau membeli vape, akan berdepan hukuman lebih berat, manakala pengguna berulang dikehendaki menjalani pemulihan mulai 1 September.
Etomidate dan bahan sepertinya akan digolongkan sebagai dadah terkawal Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) untuk tempoh enam bulan, sementara menunggu MOH memperkenalkan undang-undang lebih sesuai.
Dengan perubahan itu, mereka yang mengimport, menjual atau mengedar vape etomidate akan menghadapi pendakwaan di bawah MDA dan penalti yang lebih tinggi berbanding sekarang.
Individu yang didapati menggunakan vape etomidate atau yang didapati positif etomidate tidak lagi hanya dikenakan denda dan boleh tertakluk kepada pemulihan, rawatan, penyeliaan yang diwajibkan undang-undang dan ditahan pihak berkuasa.
Dalam kenyataan bersama MOH dan MHA pada 28 Ogos, mereka yang secara sukarela mendapatkan bantuan tidak akan berdepan sebarang penalti dan tidak akan mempunyai rekod kesalahan.
Walau bagaimanapun, jika individu itu ditangkap secara berasingan kerana vape, penalti di bawah pelbagai undang-undang akan dikenakan dan mereka akan mempunyai rekod kesalahan.
Pesalah kali pertama akan diberikan notis komposisi sebanyak $500 bagi pesalah di bawah 18 tahun dan $700 bagi orang dewasa.
Di samping itu, mereka akan dikehendaki menghadiri program pemulihan sehingga enam bulan.
Pesalah kali kedua akan ditangkap dan disiasat oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) di bawah MDA, yang termasuk pengambilan kenyataan dan ujian air kencing.
Mereka akan dikehendaki menjalani penyeliaan mandatori selama enam bulan, termasuk ujian dadah dan pemulihan. – ANWAR SALEH


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg