Sebanyak $25.7 bilion dibelanjakan oleh pemerintah dari 2018 hingga 2022 bagi menyokong isi rumah yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang warga Singapura atau Penduduk Tetap (PR) berumur 65 tahun dan ke atas.
Demikian menurut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa menjawab soalan Encik Mohd Fahmi Aliman (GRC Marine Parade) di Parlimen pada Selasa.
“(Jumlah) Ini meliputi penjagaan kesihatan, sokongan sosial dan sokongan pemerintah berkaitan dengan perumahan yang dimanfaatkan isi rumah yang mempunyai warga emas, seperti skim Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Pakej Jaminan, tokokan pemerintah kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF), Pakej Generasi Perintis dan Merdeka, bantuan ComCare dan Skim Ihsan Senja,” kata Encik Masagos.
Encik Fahmi, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, bertanya tentang jumlah sokongan, termasuk bantuan kewangan, program penjagaan kesihatan dan inisiatif sokongan sosial, yang pemerintah telah beri kepada warga emas.
Encik Masagos menambah bahawa pemerintah telah memperkenalkan langkah untuk membantu rakyat Singapura menghadapi kebimbangan kos sara hidup, seperti mempertingkatkan Pakej Jaminan.
Selain itu, warga emas layak juga menerima hingga $700 sokongan tunai pada Jun 2023 daripada Bayaran Khas Kos Sara Hidup dan Bonus Warga Emas Kos Sara Hidup di samping pelbagai bantuan yang akan datang kelak.
“Sokongan akan datang termasuk pembayaran GSTV-Tunai hingga $700, tokokan GSTV-MediSave hingga $450 pada Ogos dan pembayaran Pakej Jaminan hingga $600 pada Disember,” kata Encik Masagos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg