Anak bongsu mendiang Lee Kuan Yew, Encik Lee Hsien Yang, menyatakan bahawa beliau telah menjadi “pelarian politik” dari Singapura di bawah Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1951.
Dalam satu catatan Facebook pada 22 Oktober, Hsien Yang berkongsi beliau telah memohon suaka pada 2022 dan mendapatkan perlindungan suaka “sebagai pilihan terakhir”.
Namun, sebagai respons kepada pertanyaan akhbar United Kingdom, The Guardian, berkenaan status suaka Hsien Yang, pemerintah Singapura pada 22 Oktober berkongsi bahawa “tiada asas” terhadap dakwaan pertuduhan jenayah ke atas Hsien Yang dan dakwaan lain mengenai penindasan politik.
Menjawab soalan akhbar The Straits Times (ST) pula mengenai status suaka Hsien Yang, Pejabat Suruhanjaya Tinggi United Kingdom (UK) di Singapura berkata: “Adalah menjadi dasar kerajaan UK untuk tidak mengulas soalan mengenai individu dan isu suaka.”
Menerusi hantaran Facebook, Hsien Yang mendakwa menjadi mangsa ‘serangan’ pemerintah Singapura setelah anaknya, Li Shengwu, didapati menghina mahkamah pada 2020 dan isterinya, Cik Lee Suet Fern, dikenakan prosiding tatatertib, antara lain.
“Saya kekal sebagai warga Singapura dan berharap suatu hari nanti, ia selamat untuk pulang ke tanah air,” ujarnya.
Di bawah Konvensyen Pelarian PBB 1951, seseorang harus meninggalkan negara asal dan tidak dapat pulang disebabkan ketakutan atau kebimbangan berasas terhadap penganiayaan, berdasarkan satu daripada lima sebab – bangsa, agama, kewarganegaraan, pendapat politik dan/atau keahlian dalam kumpulan sosial khas.
Hsien Yang berkata beliau berjaya mendapatkan suaka dari United Kingdom, negara yang beliau dan isteri sedang menetap buat masa ini.
Mereka meninggalkan Singapura pada 15 Jun 2022 selepas pihak polis Singapura meminta bantuan dalam satu siasatan, namun mereka tidak pulang ke tanah air sejak dari itu.
Siasatan itu adalah terhadap kesalahan yang mungkin timbul angkara keterangan palsu yang diberikan dalam prosiding kehakiman berhubung wasiat bapanya.
Ia berkaitan langkah yang harus diambil bersangkutan rumah keluarga di 38 Oxley Road setelah kematian adiknya Dr Lee Wei Ling pada 9 Oktober, yang ketika hayatnya menetap di rumah tersebut.
Hsien Yang menegaskan semula tuntutannya ke atas hartanah itu.
Dalam satu catatan Facebook pada 15 Oktober, beliau berkata: “Saya adalah satu-satunya pemilik sah 38 Oxley Road. Selepas kematian kakak saya, saya adalah satu-satunya waris yang masih hidup bagi harta pusaka ayah saya.
“Dalam wasiatnya, beliau berhasrat rumah itu dirobohkan ‘segera selepas’ (Dr) Wei Ling berpindah dari rumah itu.
“Adalah kewajipan saya untuk melaksanakan kehendaknya dengan sepenuhnya mengikut undang-undang.”
Beliau dan mendiang Dr Wei Ling mendakwa bahawa mereka rasa terancam kerana cuba penuhi hasrat mendiang bapa mereka merobohkan rumah itu.
Dalam menjawab soalan The Guardian, pemerintah Singapura menjelaskan: “Badan kehakiman Singapura saksama dan membuat keputusan secara bebas. Inilah sebabnya mengapa warga Singapura mempunyai tahap kepercayaan tinggi terhadap badan kehakiman.”
Ia menambah tiada sekatan undang-undang dikenakan ke atas Hsien Yang dan isterinya untuk pulang ke Singapura dan mereka “bebas untuk pulang”.
Pemerintah Singapura mendedahkan pertanyaan The Guardian kepada umum susulan satu laporan yang dikeluarkan akhbar itu pada 22 Oktober dalam satu temubual bersama Hsien Yang.
Antara lain, akhbar itu menyebut tentang “prosiding tatatertib profesional tidak berasas” terhadap Suet Fern berhubung kelakuannya sebagai peguam.
Pada November 2020, Suet Fern telah digantung tugas oleh Mahkamah Tiga Hakim selama 15 bulan selepas didapati bersalah atas salah laku berhubung pengendalian wasiat terakhir Encik Lee Kuan Yew.
Pemerintah Singapura, sebagai respons, menjelaskan bahawa Mahkamah Tiga Hakim, yang diketuai Ketua Hakim Negara, mendapati Hsien Yang dan Suet Fern tidak melibatkan sama peguam mendiang Lee dalam menyediakan wasiat terakhirnya.
Menukil keputusan hakim, mereka mendapati pasangan tersebut telah mendapatkan pelaksanaan wasiat terakhir dengan “tergesa-gesa… (yang) hanya boleh digambarkan sebagai tidak wajar dan tidak boleh diterima”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg