Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis: Tiada sekatan undang-undang ke atas Hsien Yang kembali ke S’pura

Oct 11, 2024 | 3:40 PM
Isu mengenai kemungkinan Encik Lee Hsien Yang pulang ke Singapura timbul  berikutan kematian kakaknya, Dr Lee Wei Ling, pada 9 Oktober.
Isu mengenai kemungkinan Encik Lee Hsien Yang pulang ke Singapura timbul berikutan kematian kakaknya, Dr Lee Wei Ling, pada 9 Oktober. - Foto fail

Tiada sekatan undang-undang ke atas Encik Lee Hsien Yang, anak bongsu Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew, dan isteri, Cik Lee Suet Fern, pulang ke Singapura, kata polis.

“Mereka sentiasa bebas pulang ke Singapura,” kata polis dalam satu kenyataan pada 11 Oktober sebagai menjawab pertanyaan media.

Kenyataan itu menambah bahawa polis telah meminta Encik Lee dan Cik Lee membantu dalam siasatan pada Jun 2022 dengan menghadiri temu duga, lapor The Straits Times.

“Mereka pada mulanya bersetuju tetapi akhirnya tidak hadir untuk temu duga yang dijadualkan. Mereka tinggalkan Singapura pada 15 Jun 2022, dan tidak kembali sejak itu,” kata kenyataan tersebut.

Isu kemungkinan Encik Lee pulang ke Singapura muncul semula berikutan kematian kakaknya, Dr Lee Wei Ling, pada 9 Oktober.

Encik Lee sebelum ini berkata beliau tidak akan pulang ke Singapura untuk upacara pengebumian itu dan anaknya, Encik Li Huanwu, akan membantu mereka.

Dr Lee meninggal dunia pada usia 69 tahun, empat tahun selepas disahkan menghidap penyakit otak yang jarang berlaku dipanggil palsi supranuklear progresif.

Pada 2023, Encik Lee berkata dalam catatan Facebook bahawa beliau mungkin tidak pulang ke Singapura di tengah-tengah siasatan polis, yang berpunca daripada perselisihan faham undang-undang antara Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dengan adik-beradiknya berhubung rumah mendiang bapa mereka di Oxley Road.

Antara yang dipertikaikan ialah klausa perobohan – berkaitan perobohan rumah di 38 Oxley Road selepas kematian Encik Lee Kuan Yew – yang tidak terdapat dalam wasiat keenam atau yang kedua terakhir tetapi terdapat dalam wasiat terakhir.

Klausa itu menjadi perkara yang gagal dipersetujui dalam kalangan anak-anak mendiang Encik Lee.

Pada 2020, Mahkamah Tiga Hakim dan tribunal tatatertib mendapati bahawa Encik Lee Hsien Yang dan Cik Lee Suet Fern telah berbohong di bawah sumpah semasa prosiding tatatertib terhadap Cik Lee, seorang peguam, berhubung pengendalian wasiat terakhir Encik Lee Kuan Yew, yang meninggal dunia pada 23 Mac 2015, pada usia 91 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg