Pemerintah komited labur dalam entiti media tempatan
Pemerintah akan terus melabur dalam entiti media perkhidmatan awam (PSM) bagi membantu entiti ini membangunkan keupayaan baru tatkala landskap media sentiasa berubah, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Antara lain, pemerintah akan bekerja rapat dengan entiti PSM agar ia dapat mengekalkan jangkauan dan memperkukuh kebolehan entiti masing-masing dalam mengesahkan maklumat sebagai sebahagian usaha menangani penyebaran maklumat palsu, katanya.
Memberikan penjelasannya semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) di Parlimen pada 2 Mac, Cik Teo berkata entiti PSM kekal memainkan peranan penting sebagai wadah maklumat yang dipercayai oleh sebahagian besar masyarakat awam di Singapura.
“Entiti PSM kita menjadi (wadah) sangat penting dalam menangani maklumat palsu.
“Oleh itu, MDDI akan terus bekerja rapat dengan entiti PSM untuk mengekalkan jangkauan mereka dan memperkukuh keupayaan semakan fakta,” ujarnya.
Cik Teo berkata demikian sebagai menjawab soalan yang diajukan Encik Henry Kwek (Kebun Baru) dan Cik Tin Pei Ling (GRC Marine Parade–Braddell Heights), berkenaan langkah yang bakal diambil bagi mengekalkan kepentingan PSM di sini.
Ini di samping mengekalkan mutu kandungan media tempatan, antara lain, agar ia tidak dimamah algoritma yang lebih cenderung terhadap program atau kandungan media asing.
Berkenaan mengekalkan jangkauan entiti PSM dan keupayaan semakan fakta, Cik Teo menukil contoh kerjasama agensi pemerintah dengan akhbar The Straits Times (ST) dalam siri AskST atau ‘Tanya ST’ untuk menangani maklumat salah.
Siri tersebut menerbitkan laporan untuk menjawab soalan atau sebarang kemusykilan yang wujud.
Mengenai kepentingan PSM, Cik Teo berkata entiti ini menghasilkan kandungan yang mengukuhkan identiti Singapura sebagai satu rakyat, di samping menyampaikan berita sahih.
Namun lebih daripada itu, beliau berkata PSM Singapura “memupuk literasi celik berita dalam kalangan anak muda kita, melalui penerbitan pelajar secara berkala” dan pertandingan di peringkat sekolah.
“Dengan mengambil kira peranan penting PSM di sini, MDDI akan menyokong usaha memastikan kandungan media perkhidmatan awam terserlah dan mudah ditemui.
“Kami sedang mengkaji pendekatan di negara lain dan akan berunding dengan pihak industri untuk memastikan inisiatif dilaksanakan secara munasabah dan berkesan.
“Pemerintah akan terus melabur dalam entiti PSM, membantu mereka membangunkan keupayaan baru seiring dengan perkembangan landskap media,” ujar Cik Teo lagi.

