Pemerintah sedang giat berusaha menangani kos sara hidup selain menyediakan lebih banyak peluang baru dan memperkukuh sistem sokongan sosial, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan sulung beliau selaku Perdana Menteri dari Sri Temasek di Istana pada 8 Ogos, Encik Wong turut berkongsi strategi pemerintah dalam meningkatkan dinamisme Singapura, dengan mewujudkan peluang baru bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih baik menerusi pertumbuhan dan peningkatan ekonomi yang dipacu inovasi dan daya penghasilan.
Ke arah mencapai matlamat ini katanya, rakyat harus terus bekerja keras, memanfaatkan sepenuhnya sokongan yang disediakan dan berusaha mempertingkat keluarga mereka.
“Seiring langkah pemerintah meningkatkan usaha, setiap kita ada peranan masing-masing. Kami menyokong setiap individu yang bekerja keras mendapat manfaat sepenuhnya dari sokongan yang disediakan, supaya anda cemerlang dalam pekerjaan, demi mempertingkat mutu kehidupan keluarga anda.
“Bagi yang berjaya, bantulah orang lain. Itulah cara kita pastikan masyarakat Singapura bersatu hati, teguh dan berdaya tahan,” kata beliau yang turut memberi jaminan bahawa pemerintah akan mempertingkat usaha dalam memastikan kos sara hidup stabil.
Ini akan dilakukan dengan menambah pelaburan dalam prasarana sosial untuk menyokong golongan yang memerlukan bantuan, seperti pekerja bergaji rendah, keluarga susah, dan golongan pesara.
Menurut Encik Wong, kunci utama dalam menangani kenaikan kos sara hidup dalam jangka panjang ialah inovasi dan daya penghasilan dalam setiap aspek ekonomi.
“Dengan ini sahajalah kita dapat melihat kenaikan gaji yang lebih tinggi berbanding kadar inflasi. Mutu kehidupan semua rakyat Singapura juga akan meningkat,” kata beliau.
Pada masa sama, pemerintah akan terus ringankan beban inflasi melalui bantuan seperti baucar CDC, bayaran tunai dan rebat api air.
Langkah tambahan juga telah diambil untuk meredakan pasaran perumahan dan menambah bekalan flat baru, seperti pelancaran kelompok pertama flat di bawah rangka kerja Standard, Plus dan Prime baru pada Oktober nanti.
Beberapa inisiatif peringkat nasional, seperti SG Lebih Sihat dan Sihat Menua SG untuk menjaga warga emas, sudah dimulakan.
Sementara itu, bantuan dipertingkat untuk keluarga dan sokongan untuk rakyat Singapura bangkit dengan lebih teguh jika dibelenggu masalah pekerjaan akan disediakan melalui gerakan Melakar Hala Tuju Singapura atau ‘Forward SG’.
Encik Wong berkata lebih banyak lagi akan dilakukan, dengan butiran lanjut bakal dikongsi semasa Rapat Hari Kebangsaan nanti.
Meskipun cabaran yang mendatang menggerunkan, Encik Wong berkata “semakin besar masalahnya, semakin besar azam kita untuk mengatasinya, dan mengubah cabaran menjadi kekuatan”.
Dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, pelaburan sedang dibuat dalam penyelidikan dan pengembangan (R&D) serta teknologi baru, dan prasarana besar-besaran, seperti pembinaan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, bagi meningkatkan daya saing republik ini sebagai hab logistik global.
Encik Wong berkata, strategi tersebut mula membuahkan hasil, dengan banyak syarikat berbilang negara yakin dan mahu menjadikan Singapura sebagai pangkalan operasi mereka di Asia.
Misalnya, sepanjang tahun lalu, syarikat seperti Pfizer, Hyundai, GlobalFoundries dan Maersk telah membuka kemudahan baru di sini, manakala BioNTech tidak lama lagi akan membuka kilang mRNA – yang pertama di Asia Tenggara.
Pelaburan sedemikian akan memacu ekonomi dan mewujudkan pekerjaan baru untuk rakyat tetapi kata Encik Wong, pekerjaan baru yang ditawarkan adalah berbeza dan memerlukan kemahiran baru.
Pemerintah akan bekerja rapat dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan majikan untuk melengkapi setiap pekerja dengan keupayaan menghadapi ekonomi masa depan.
Golongan pekerja ujar beliau, perlu dipersiapkan untuk merebut peluang melalui kursus-kursus SkillsFuture bagi mempertingkat dan mengasah kemahiran atau mencuba sesuatu yang baru.
Sejajar dengan pertumbuhan ekonomi lebih tinggi, pemerintah juga jangkakan gaji pekerja naik tahun ini, di samping memastikan dolar Singapura terus kukuh untuk melindungi rakyat daripada kesan terburuk inflasi global.
Tambah beliau, walaupun banyak yang boleh diraikan dan dibanggakan tentang pencapaian dan kemajuan yang dicapai sejauh ini, negara ini tidak boleh bersikap sambil lewa dan bergantung kepada “formula sedia ada”.
Sebaliknya, Singapura perlu bertindak tangkas, berpandangan jauh dan mencari huraian segar dalam menangani cabaran baru, tambah beliau.
Dalam hal ini, rakyat boleh bekerjasama dengan pemerintah untuk mengatasi cabaran dalam dunia yang pesat berubah disebabkan konflik, geopolitik dan perubahan iklim.
Konflik di Eropah dan Timur Tengah yang terus bergelora, dan ketegangan semakin meningkat antara Amerika Syarikat dengan China, menjadi kebimbangan sedunia.
Ini selain isu populisme, nasionalisme ekonomi dan dasar perlindungan semakin berleluasa di seluruh dunia, dan politik di banyak negara lain yang kian agresif, menjadikan ia lebih sukar menangani krisis genting, terutamanya perubahan iklim.
“Inilah faktor-faktor besar yang mencorak dunia. Walaupun kita tidak lagi membina negara kita seperti dahulu, namun kita tidak mampu bersikap sambil lewa.
“Kita tidak boleh bergantung kepada formula yang sedia ada. Sebaliknya, kita perlu bertindak dengan tangkas, bijak dan berpandangan jauh. Mencari huraian segar, dan melakar hala tuju kita sendiri.”
“Saudara saudari sekalian, kita akan mengharungi semua cabaran ini bersama. Marilah kita membawa Singapura Maju ke Hadapan – Bersama-sama sebagai Rakyat yang Bersatu Padu. Selamat Hari Kebangsaan!,” kata beliau.
“
“Tahun ini, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi, kami jangkakan gaji pekerja juga akan naik. Pada masa yang sama, kami akan terus ringankan beban inflasi, terutama bagi rakyat Singapura bergaji rendah dan pertengahan, melalui bantuan seperti baucar CDC, bayaran tunai, dan rebat api air.”“
“Inisiatif peringkat nasional seperti Healthier SG dan Age Well SG untuk menjaga warga emas kita, juga sudah dimulakan. Melalui Forward SG, kami akan tambah bantuan untuk keluarga, dan bantu rakyat Singapura bangkit dengan lebih teguh jika dihimpit masalah pekerjaan. Lebih banyak lagi akan dilakukan. Butiran lanjut akan dibentangkan di Rapat Hari Kebangsaan nanti.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg