Tinjauan IPS: Rangkaian persahabatan pelbagai tingkatkan kepercayaan, perpaduan sosial
Tinjauan IPS: Rangkaian persahabatan pelbagai tingkatkan kepercayaan, perpaduan sosial
Kajian terbaharu oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) mendedahkan bahawa memiliki rangkaian persahabatan yang rencam adalah kunci kepada kesejahteraan sosial. Individu dengan rakan yang lebih pelbagai menunjukkan rasa percaya yang lebih tinggi terhadap jiran dan rakyat senegara.
Rangkaian yang pelbagai turut mengukuhkan rasa kekitaan, meningkatkan penglibatan sivik dan memupuk perpaduan sosial.
Dapatan ini dikongsikan dalam panel dalam talian yang berlangsung pada 20 Januari.
Ahli panel terdiri daripada Dr Clara Lee, Zamil Penyelidik, Makmal Sosial, IPS; Dr Mathew Mathews, Zamil Penyelidik Utama dan Ketua Makmal Sosial, IPS; Profesor Madya Kokil Jaidka, Jabatan Komunikasi dan Media Baru, Universiti Nasional Singapura; dan Cik Grace Chua, Pengasas bersama serta Ketua Pegawai Eksekutif, Friendzone.
Tinjauan yang dijalankan dari Oktober hingga November 2025 itu, melibatkan 3,713 responden, mendapati bahawa meskipun kemajuan digital semakin pesat, hanya 23.2 peratus responden mempunyai sahabat atau kenalan dalam talian.
Kajian itu turut mendedahkan bahawa 89.5 peratus rakyat Singapura mempunyai sekurang-kurangnya seorang teman rapat, ditakrifkan sebagai seseorang yang mereka selesa di sampingnya, boleh berbincang hal peribadi, atau diminta bantuan.
Responden diminta untuk mengecualikan ahli keluarga dan pasangan romantik dalam definisi teman rapat.
Sebanyak 93 peratus responden menyatakan mereka bertemu rakan rapat mereka secara bersemuka, dengan sekolah dan tempat kerja kekal sebagai titik permulaan utama hubungan persahabatan ini.
Sebanyak 54 peratus responden menyatakan mereka mula mengenali sekurang-kurangnya seorang teman rapat daripada sekolah sementara lagi 45.8 peratus bertemu teman rapat mereka di tempat kerja.
Kajian itu juga mendapati, golongan muda dan mereka yang berstatus sosioekonomi (SES) lebih tinggi lebih cenderung melaporkan mempunyai teman rapat. Sebaliknya, mereka yang tidak mempunyai teman rapat selalunya adalah golongan berusia dan ber-SES lebih rendah.
Responden yang lebih muda dan berpendidikan tinggi juga lebih cenderung mempunyai rakan dalam talian. Daripada mereka yang berusia 21 hingga 35 tahun, 43.5 peratus mengatakan mereka mempunyai rakan dalam talian, berbanding 20.6 peratus daripada mereka yang berusia 51 tahun ke atas.
Persahabatan dalam talian juga didapati lebih pelbagai dari segi jantina, kaum, usia, kewarganegaraan, pendidikan, dan jenis perumahan berbanding persahabatan bersemuka.
Tinjauan itu mendedahkan bahawa kepelbagaian yang lebih tinggi meningkatkan inklusiviti, mengeratkan perpaduan sosial, membina kepercayaan masyarakat dan melonjakkan penglibatan sivik seperti menderma dan menjadi sukarelawan.
Sebagai contoh, rasa inklusiviti yang kuat dirasai oleh 42.6 peratus individu dengan rangkaian persahabatan yang pelbagai, berbanding 30.9 peratus yang dilaporkan oleh mereka yang kurang kepelbagaian dalam persahabatan.
Responden dengan persahabatan yang lebih rencam juga lebih cenderung berasa diterima dan terhubung dengan orang lain.
Tinjauan itu turut meneliti peranan baharu bot sembang kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan sosial warga Singapura. Penggunaannya didapati lebih meluas dalam kalangan responden yang lebih muda dan berpendidikan tinggi.
Bot sembang AI kebanyakannya masih digunakan untuk mencari maklumat atau membantu kerja atau sekolah, namun sekitar satu daripada 10 responden menggunakannya untuk perbualan santai, sokongan emosi atau bantuan kesihatan mental.
Wanita lebih cenderung mendapatkan sokongan emosi atau bantuan kesihatan mental daripada bot sembang AI, dengan 13.8 peratus wanita mengaku berbuat demikian berbanding hanya 7 peratus lelaki.

