Satu jawatankuasa yang akan mengkaji serta memperkukuh langkah perlindungan di semua institusi agama akan ditubuhkan, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

Jawatankuasa itu akan dipimpin oleh Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed dan Presiden PPIS, Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim.

Menurut Encik Zaqy, jawatankuasa itu akan melapor kepada beliau, serta dapatan dan saranannya akan dikongsi secara terbuka dengan masyarakat.

Beliau mengumumkan demikian di Parlimen pada 8 September berhubung kes seorang ‘pempengaruh agama’ yang dikenakan hukuman penjara dan sebat kerana melakukan kesalahan seksual terhadap dua beradik lelaki muda antara 2023 dengan 2024.

“Saya akan tubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti secara menyeluruh langkah-langkah perlindungan di institusi agama kita, mengenal pasti ruang yang boleh diperbaiki serta memberi cadangan untuk memperkukuh perlindungan sedia ada.

“Usaha ini akan kita lakukan bersama – dengan masjid, pemimpin masyarakat, ibu bapa, kanak-kanak serta belia – untuk berkongsi pandangan, belajar daripada amalan terbaik, dan membina ruang keagamaan yang benar-benar selamat dan terbuka,” ujarnya.