Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah sedang kaji semula insentif sedia ruang laktasi

May 7, 2024 | 7:50 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, berkata pemerintah sedang mengkaji semula perundangan dan insentif yang berkaitan untuk penyediaan kemudahan laktasi dan menggalak budaya kerja sokongan yang inklusif untuk ibu menyusu.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, berkata pemerintah sedang mengkaji semula perundangan dan insentif yang berkaitan untuk penyediaan kemudahan laktasi dan menggalak budaya kerja sokongan yang inklusif untuk ibu menyusu. - Foto MCI

Pemerintah sedang mengkaji semula undang-undang dan insentif yang berkaitan dengan penyediaan kemudahan laktasi serta untuk menggalakkan budaya kerja yang inklusif bagi ibu yang sedang menyusukan anak, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah.

Bercakap di Parlimen pada 7 Mei sebagai respons kepada usul penangguhan oleh Encik Louis Ng (GRC Nee Soon), beliau berkata bahawa semakan kod terbaru sedang dijalankan.

“Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) telah membentuk jawatankuasa semakan kod yang terdiri daripada pihak berkepentingan sektor awam dan swasta dengan perwakilan daripada 15 organisasi, termasuk agensi perkhidmatan sosial, persatuan industri dan agensi pemerintah.

“BCA menyasarkan untuk memulakan perundingan awam mengenai kod yang dipertingkatkan menjelang akhir 2024. Tumpuan utama semakan adalah pada bilik laktasi,” kata Cik Indranee.

Dalam usul penangguhannya, Encik Ng telah menyeru pemerintah agar memberikan lebih banyak sokongan kepada ibu menyusu di tempat kerja.

Beliau berkongsi bahawa diskriminasi dan stigma yang dihadapi oleh ibu menyusu di tempat kerja adalah nyata, dan keperitan yang mereka merasai adalah pada tahap emosi dan fizikal.

Encik Ng mencadangkan agar sekurang-kurangnya satu bilik laktasi bagi setiap 2,500 meter persegi luas lantai kasar (GFA) di sediakan di pejabat dan pusat perniagaan serta mewajibkan kemudahan bilik laktasi tertentu.

Dalam jawapannya, Cik Indranee berkata bahawa kod semasa memerlukan bangunan seperti pejabat dan pusat perniagaan dengan 10,000 meter persegi atau lebih dalam GFA untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu bilik laktasi.

Beliau menambah bahawa beberapa pembangunan dengan GFA kurang daripada 10,000 meter persegi, seperti pusat penjaja, sudah menyediakan bilik laktasi secara sukarela.

“Walau bagaimanapun, kami setuju bahawa terdapat skop untuk menurunkan ambang GFA dalam kod untuk pemasangan bilik laktasi di pejabat dan pusat perniagaan dan untuk mempertimbangkan keperluan bangunan yang lebih besar untuk memasang lebih banyak bilik laktasi.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa jawatankuasa sedang mengkaji isu ini dengan teliti. Kita perlu mengambil pendekatan yang tepat dan seimbang, dengan mengambil kira keperluan bersaing lain untuk ruang dalam pembangunan dan kekangan pembangunan yang lebih kecil,” kata Cik Indranee.

Beliau menambah bahawa selain bilik laktasi yang dibina khas, pod laktasi adalah alternatif yang berdaya maju untuk pemilik atau majikan di bangunan dengan GFA yang lebih rendah atau dengan kekangan konfigurasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg