Pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) bukan sahaja perlu menangani keprihatinan semasa rakyat, malah juga mempersiapkan negara ini untuk menghadapi cabaran hari esok serta bertindak sebelum isu-isu tersebut menjadi lebih mencabar untuk diselesaikan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Usaha mentadbir negara juga bererti mengimbangi pelbagai keperluan dan kepentingan yang bersaing, dan parti pemerintah mesti sentiasa mempertimbangkan gambaran yang lebih luas.

“Kumpulan yang berbeza secara semula jadinya akan mengutarakan perkara yang paling penting kepada mereka.

“Namun, sebagai parti yang memerintah, kita mesti mempertimbangkan gambaran yang lebih luas.

“Kita tidak boleh sekadar memberitahu orang ramai apa yang mereka mahu dengar, atau menjanjikan apa yang mereka harapkan semata-mata,” kata beliau.

Encik Wong, yang juga Setiausaha Agung PAP, berkata demikian kepada sekitar 3,000 aktivis parti semasa berucap di Persidangan dan Anugerah PAP 2026 pada 25 Oktober, yang diadakan di Expo.

Encik Wong menekankan peri pentingnya untuk memandang ke hadapan dan menjangkakan isu-isu yang boleh timbul pada masa hadapan, dan untuk bertindak sebelum ia menjadi lebih sukar untuk dihuraikan.

Beliau memberi contoh isu keperluan tenaga Singapura, sambil menambah bahawa isu tersebut adalah satu keutamaan bagi Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI).

Merujuk kepada pengumuman pengurangan eksport bekalan gas dari Indonesia sehari sebelumnya, Encik Wong berkata meskipun Singapura menjangkakan semua pihak untuk menunaikan komitmen mereka, Singapura telah membuat persiapan bagi menghadapi risiko sedemikian.

Ketua badan pengawal selia minyak dan gas Indonesia SKK Migas, Encik Djoko Siswanto, sebelum ini dipetik media Indonesia pada 23 Oktober sebagai berkata bahawa negara itu akan memotong eksport gas asli ke Singapura sebanyak 31 bilion unit terma British sehari (BBTUD) bermula 24 Oktober.

Sebagai respons, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada 24 Oktober menegaskan Singapura mempunyai bekalan tenaga yang mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik, sambil menambah bahawa pengurangan bekalan gas asli dari Indonesia membentuk kurang 2 peratus daripada keseluruhan permintaan gas harian negara ini.

Singapura bergantung kepada gas asli bagi 95 peratus keperluan penjanaan kuasanya, dengan gas ini disalurkan menerusi paip dari Malaysia dan Indonesia, ataupun dalam bentuk gas asli cecair (LNG) dari seluruh dunia.

Negara ini juga giat mempertingkat usaha mempelbagaikan sumber tenaganya.

Encik Wong berkata Singapura melabur dalam terminal LNG untuk mengimport gas dari pelbagai negara, tanpa perlu bergantung pada saluran paip, dan ini memberi lebih banyak pilihan kepada Singapura untuk menangani sebarang gangguan kepada bekalan gas.

Namun, beliau menekankan bahawa Singapura perlu melihat melangkaui gas asli; ia memerlukan sumber tenaga lebih bersih yang mampu menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai sepanjang masa, dan oleh itu, ia sedang mengkaji potensi tenaga nuklear.

Encik Wong berkata pemerintah memahami terdapat keprihatinan tentang keselamatan tenaga nuklear dalam sebuah negara kecil dan padat seperti Singapura, dan mereka memandang serius perkara itu.

Namun, pemerintah tidak seharusnya menolak sesuatu pilihan semata-mata kerana ia sukar atau menimbulkan kontroversi.

“Kita mesti menilai risiko serta pertimbangannya dengan teliti, mendampingi rakyat Singapura, dan membuat keputusan yang tepat demi menjamin masa depan tenaga kita,” kata beliau.

Dalam ucapannya itu, Encik Wong turut menyentuh tentang parti pembangkang, khususnya Parti Pekerja (WP).

Di Parlimen, para Anggota Parlimen (AP) mengutarakan hal-hal yang penting kepada penduduk mereka dan juga isu-isu yang dekat di hati mereka.

Namun, walaupun WP bersuara mengenai dasar di Parlimen, pendirian yang diambil parti itu dari semasa ke semasa didapati tidak sentiasa konsisten mahupun koheren, kata beliau.

Beliau memberi contoh isu perumahan – pada 2019 ketika harga flat jualan semula susut, WP menggesa pemerintah mengurangkan pembinaan flat baharu. Namun selepas pandemik Covid-19 menjejas pembinaan, WP pada 2023 pula mengkritik pemerintah kerana kekurangan flat tanpa mengakui pendirian mereka sebelumnya.

Begitu juga dalam isu tenaga kerja asing, kata Encik Wong, di mana WP pernah mencadangkan sifar pertumbuhan tenaga kerja asing semasa perbahasan mengenai dasar populasi, tetapi kemudian menggesa kuota dilonggarkan apabila syarikat kecil dan sederhana (SME) menghadapi kekurangan pekerja.

Menurut Encik Wong, pendirian WP kelihatan sering berubah-ubah “mengikut tiupan angin politik” dan isu popular semasa, tanpa mengambil kira pertimbangan menyeluruh serta kesan jangka panjang.

“Ini sebahagian daripada politik pembangkang. Lebih mudah untuk mempertahankan sesuatu pendirian apabila anda tidak perlu menyelaraskan pelbagai tuntutan yang bersaing, atau memikul tanggungjawab ke atas hasilnya.

“Mentadbir itu berbeza. Anda tidak boleh sekadar menawarkan apa yang kedengaran menarik hari ini. Anda mesti membuat pilihan sukar yang mampu bertahan mengharungi ujian masa,” kata beliau.

Encik Wong menambah bahawa Singapura juga mesti berwaspada terhadap populisme – godaan untuk menawarkan penyelesaian mudah dan cetek dan bukannya mendepani realiti yang sukar.

Sebab itulah, sebagai parti pemerintah, PAP mesti sentiasa mengambil pandangan yang lebih luas dan berjangka panjang, dengan mempertimbangkan kepentingan Singapura dan rakyatnya secara keseluruhan dan bukan hanya mereka yang bersuara paling lantang.

Kadangkala, cabarannya bukanlah tentang mengimbangi kepentingan yang bersaing, tetapi adalah tentang menghadapi isu yang, dari segi politik, jauh lebih mudah untuk dibiarkan sahaja, kata Encik Wong.

Ini seperti isu semakan gaji politik, tenaga manusia dan perumahan.

Namun, pemerintah tidak boleh mengelak daripada membuat keputusan yang sukar semata-mata kerana ia tidak popular.

“Kerana apabila kita menangguhkan keputusan yang sukar, kita tidak melenyapkan masalah tersebut. Kita sekadar menyerahkannya kepada mereka yang datang selepas kita – dan sering kali meninggalkan mereka dengan pilihan yang jauh lebih sukar kelak.

“Oleh itu, kita mesti mempunyai keberanian untuk bertindak – bukan sahaja demi rakyat Singapura hari ini, tetapi juga untuk anak dan cucu kita yang bakal mewarisi Singapura yang kita bina,” kata beliau.