Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemerintah sedia ambil langkah kawal ‘chatbot AI’
Pemerintah sedang memantau rapat penggunaan bot sembang kecerdasan buatan (AI), atau chatbot AI, sebagai satu lagi ruang dalam talian yang memerlukan perlindungan keselamatan bagi kanak-kanak dan remaja.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, dalam satu wawancara media pada 28 Ogos, menekankan perlunya kajian mendalam dijalankan bagi mengenal pasti keutamaan perlindungan.
Ini termasuk menilai keperluan pengesahan usia, serta menentukan bentuk perlindungan serta peraturan yang benar-benar kukuh dan berkesan untuk menangani interaksi bot sembang AI secara selamat.
Namun, memandangkan bukti kukuh kemudaratan bot sembang AI kepada golongan muda mungkin mengambil masa yang lama untuk disahkan, Singapura bersedia mengambil pendekatan langkah berwaspada untuk membina jaring keselamatan lebih awal.
Antara contoh bot sembang AI ialah ChatGPT, Claude, Grok dan Gemini.
“Cabarannya sentiasa terletak pada usaha memastikan kita telah mengenal pasti secara (tepat) perkara yang membentuk langkah perlindungan yang lebih kukuh.
“Panel Pakar Kementerian Kesihatan (MOH) turut menyatakan bahawa sukar untuk membuktikan hubungan sebab dan akibat secara langsung kerana dapatan yang ada setakat ini hanya menunjukkan wujudnya perkaitan.
“Namun, mereka menyatakan bahawa bukti kukuh mungkin mengambil masa yang sangat lama untuk disahkan, lalu membangkitkan persoalan sama ada kita patut bertindak atas dasar berwaspada.
“Ada kemungkinan besar bahawa bagi bot sembang AI, kita juga perlu berwaspada kerana buktinya tidak akan diperoleh dengan mudah dalam masa terdekat,” kata Cik Teo.
“Walau bagaimanapun, adalah tetap penting untuk kita memperinci perkara yang paling membimbangkan apabila seorang pengguna muda berinteraksi dengan bot sembang AI, sama seperti dapatan Panel Pakar MOH,” tambah beliau.
Dalam usaha meningkatkan langkah keselamatan, Cik Teo berkata Kementerian Pendidikan (MOE) turut memainkan peranan dan pihaknya sedar ia perlu mendidik pelajar mengenai AI dan cara menggunakannya, di samping memperkukuh kepentingan pembelajaran “di luar bidang AI”.
“Ini semua merupakan sudut pandangan berbeza bagi keprihatinan yang sama tentang bagaimana untuk menanganinya.
“Ia bukan sahaja melibatkan media sosial; malah kebergantungan kita kepada perkhidmatan digital, termasuk AI.
“Pendekatan yang diambil mestilah lebih menyeluruh,” kata beliau.
“
“Ada kemungkinan besar bahawa bagi bot sembang AI (kecerdasan buatan), kita juga perlu berwaspada kerana buktinya tidak akan diperoleh dengan mudah dalam masa terdekat.”