Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah siasat sebab Shell lewat lapor tentang minyak bocor

Nov 11, 2024 | 8:25 PM
Pemerintah sedang menyiasat kelewatan selama tujuh jam 30 minit antara penemuan kebocoran minyak dan pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kejadian itu, kata Menteri Negara (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai, di Parlimen pada 11 November.
Pemerintah sedang menyiasat kelewatan selama tujuh jam 30 minit antara penemuan kebocoran minyak dan pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kejadian itu, kata Menteri Negara (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai, di Parlimen pada 11 November. - Foto fail

Pemerintah sedang menyiasat jurang selama tujuh jam 30 minit antara penemuan kebocoran minyak dengan syarikat petrokimia, Shell, memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai kejadian itu, kata Menteri Negara (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai.

Menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) pada 11 November mengenai kejadian tersebut, beliau menjelaskan sekitar 30 hingga 40 tan minyak dan air bocor di perairan antara Pulau Bukom dengan Bukom Kecil dari saluran paip di darat.

Ia bermula kira-kira 5.30 pagi pada 20 Oktober manakala Shell memaklumkan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) sekitar 1 petang pada hari yang sama, tambah beliau.

Operasi pembersihan selesai pada 29 Oktober.

Encik Murali berkata menurut protokol standard, Shell sepatutnya memaklumkan kepada MPA dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) secepat mungkin apabila ia mengesan kebocoran itu.

“Sekiranya terdapat kesilapan oleh Shell, agensi (pemerintah) akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang perlu terhadap syarikat itu,” katanya.

Dalam jawapan yang disiarkan di laman web Shell pada 20 Oktober, ia menyatakan kebocoran minyak itu pada mulanya dibendung di darat, tetapi ia memaklumkan MPA “secepat mungkin” apabila ia mengesan kebocoran minyak di laut.

Menukil laporan The Straits Times (ST) pada 11 November, Shell memberitahu ST bahawa ia akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa mengenai kejadian itu.

“Kami komited untuk mengekalkan piawaian keselamatan yang ketat dan pematuhan kepada keperluan kawal selia,” jelas Shell.

Terdapat dua lagi insiden tumpahan minyak di perairan Singapura dalam tempoh lima bulan sebelum ini.

Yang pertama berpunca daripada pelanggaran antara bot pengorek dengan kapal tangki di Terminal Pasir Panjang.

Ia membawa kepada kebocoran kira-kira 400 tan minyak pada 14 Jun.

Selepas kes kebocoran minyak Shell, satu lagi tumpahan minyak berlaku di Changi pada 28 Oktober.

Lima tan minyak mengalir ke laut semasa operasi bunker antara kapal pengangkut pukal dengan bendera Bahamas dan kapal tangki bunker.

Encik Murali menjawab dua soalan mengenai kesan tumpahan minyak ke atas ekosistem marin, keperluan untuk mengkaji semula amalan pengesanan dan amaran tumpahan minyak.

Ini di samping pembahagian kos dan tanggungjawab merentas agensi pemerintah serta langkah mitigasi untuk mencegah dan mengendalikan tumpahan minyak pada masa hadapan.

Mengenai kesan alam sekitar, beliau berkata pihak berkuasa tidak melihat sebarang kesan segera terhadap ekosistem marin dan pantai, hidupan liar dan perikanan di Singapura.

Encik Murali berkata tumpahan minyak menyusuli dua insiden pada Oktober tidak menjejas pantai rekreasi.

Agensi air negara PUB juga memantau pengambilan air laut di loji penyahmasin, dan bacaan kekal normal, tambahnya.

Encik Murali juga menyatakan bahawa tidak ada penampakan minyak di laut dan di pantai yang timbul dek kejadian sedemikian.

Sementara itu, menjawab soalan mengenai integriti struktur saluran paip minyak, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, berkata NEA sedang mengkaji langkah penyelenggaraan dan pemeriksaan di kemudahan Shell, dan akan menilai sekiranya langkah tambahan diperlukan untuk mengurangkan lagi risiko kebocoran minyak.

Dr Khor menambah NEA telah mengarahkan Shell supaya menyelesaikan pemeriksaan integriti saluran paip secara komprehensif di kilangnya di Pulau Bukom.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg