Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah S’pura minta parti politik tidak aktif, termasuk Barisan Sosialis, bukti kewujudan

Aug 11, 2025 | 7:17 PM
Barisan Sosialis, yang didaftarkan pada Ogos 1961, dibentuk oleh 13 mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) selepas mereka dipecat.
Barisan Sosialis, yang didaftarkan pada Ogos 1961, dibentuk oleh 13 mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) selepas mereka dipecat. - Foto fail ST

Pemerintah Singapura meminta 14 parti politik yang tidak aktif, termasuk Barisan Sosialis – yang pernah menjadi parti pembangkang terbesar di Singapura – untuk membuktikan kewujudan mereka kepada pihak berkuasa.

Dalam satu notis yang diterbitkan dalam Warta Pemerintah pada 7 Ogos, Penolong Pendaftar Persatuan, Cik Ravinder Kaur, meminta maklumat tersebut, dengan alasan “mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa persatuan-persatuan ini... telah tidak wujud”.

Parti politik tersebut diberi masa tiga bulan untuk menyediakan bukti kewujudan mereka yang berterusan, dan jika gagal, Pendaftar boleh mengemukakan satu lagi notis dalam warta berkenaan untuk mengisytiharkan mereka sebagai tidak aktif di bawah Akta Pertubuhan, lapor The Straits Times (ST).

Barisan Sosialis, yang didaftarkan pada Ogos 1961, dibentuk oleh 13 mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) selepas dipecat kerana tidak mengundi dalam undian Dewan Undangan mengenai keyakinan terhadap pemerintah.

Beberapa anggota parti tersebut, termasuk pemimpin parti, Lim Chin Siong, antara lebih 100 orang yang ditangkap dalam Operasi ‘Coldstore’ – satu operasi keselamatan terhadap golongan sayap kiri dan pro-komunis pada 2 Februari 1963.

Pada Pilihan Raya Umum 1963 (GE1963), Barisan Sosialis memenangi 13 daripada 46 kerusi yang ditandinginya. Selepas perpisahan Singapura dari Malaysia pada 1965, AP Barisan Sosialis memboikot Parlimen kerana mereka menganggap kemerdekaan Republik ini sebagai “tidak sah”.

Barisan Sosialis kembali bertanding pada GE1972, tetapi gagal memenangi sebarang kerusi. Parti ini kali akhir diwakili dalam GE pada 1984, dan bergabung dengan Parti Pekerja (WP) pada 1988.

Antara parti lain yang diminta untuk menyediakan bukti kewujudan mereka adalah Parti Rakyat Bersatu (UPP), yang ditubuhkan oleh mantan pemimpin PAP, Encik Ong Eng Guan, pada Julai 1961, selepas dipecat daripada PAP.

Seperti Barisan Sosialis, UPP turut mengetengahkan 46 calon dalam GE1963. Parti ini memenangi satu kerusi di Hong Lim, di mana Encik Ong adalah penyandangnya sebelum beliau meninggalkan politik pada 1965.

Satu-satunya parti selepas 2000-an ialah Parti Demokrasi Liberal Rakyat, didaftarkan oleh Encik Ooi Boon Ewe pada 2 Mei 2006, namun permohonannya diluluskan terlalu lewat untuk bertanding dalam GE2006.

Parti-parti politik yang tidak aktif ini pernah dihidupkan semula pada masa lalu. Pada GE2015, Parti Progresif Demokratik (DPP), yang tidak aktif lebih daripada satu dekad, telah membentuk satu pasukan bersama Parti Rakyat Singapura (SPP) untuk bertanding di GRC Bishan-Toa Payoh. PAP menang dengan 73.59 peratus undi.

Parti-parti lain yang disebut dalam notis warta tersebut adalah: Parti Perikatan Singapura, Parti Kebangsaan Singapura, Partai Rakyat, Bahagian Negeri Singapura (Singapore State Division), Parti Kesatuan Ra’ayat, Barisan Rakyat, Parti Republik Rakyat Persatuan Melayu Singapura, Parti Cina Singapura, Kongres India Singapura, Barisan Nasional Bersatu, dan Barisan Rakyat Bersatu.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), yang mengendalikan Pendaftar Pertubuhan telah dihubungi, untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai notis Warta Pemerintah ini, termasuk kriteria untuk menilai jika sesuatu persatuan itu tidak aktif.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg