Pemerintah sedang menjalankan semakan untuk menilai sama ada wujud salah laku sebenar yang membabitkan penjawat awam yang terlibat dalam perancangan rangkaian MRT antara 2007 dengan 2011, kata Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) pada 25 September.

Ini susulan kes kertas penyelidikan yang diterbitkan oleh sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan berpangkalan di Amerika Syarikat, yang mendakwa penjawat awam di Singapura membeli rumah pada kadar tidak seimbang di kawasan berhampiran stesen MRT yang belum diumumkan kepada orang ramai.

Ia kini dalam proses mengenal pasti pembelian hartanah yang dibuat dalam tempoh tersebut – yang ditekankan dalam kertas penyelidikan itu – dan di mana lokasi hartanah berkenaan terletak berdekatan dengan tempat yang kemudiannya diumumkan sebagai stesen MRT, tambah PSD.

Namun, oleh sebab transaksi pembelian hartanah tersebut berlaku agak lama dahulu, pemerintah akan memerlukan masa untuk mendapatkan semula rekod sedia ada dan meneliti keadaan setiap kes.

“Sekiranya kami menemui bukti bahawa seorang pegawai telah menggunakan maklumat bukan awam untuk membuat pembelian hartanah bagi faedah peribadi, kes tersebut akan dirujuk kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” tegas PSD.

Kertas penyelidikan oleh Biro Penyelidikan Ekonomi Nasional (NBER) itu telah melaporkan kaitan statistik antara penjawat awam dengan pembelian rumah mereka berdekatan stesen MRT yang dirancang sebelum lokasi stesennya diumumkan secara awam.

Corak tersebut diperhatikan bagi pengumuman stesen MRT pada atau sebelum 2011, dan bukan selepas 2011.

Penulis kertas penyelidikan tersebut ialah Profesor Tomasz Piskorski daripada Universiti Columbia; Profesor Amit Seru dan Encik Chun Zhao daripada Universiti Stanford; serta Profesor Jian Zhang daripada Universiti Hong Kong.

Para penulis itu berkata mereka ingin mengkaji sama ada norma sosial yang menyokong integriti boleh menggantikan penguatkuasaan formal dalam menghalang salah laku oleh pegawai awam.

Kertas tersebut meneliti urus niaga perumahan di sekitar kawasan peluasan sistem MRT yang dirancang, menggunakan “keseluruhan data urus niaga perumahan”.

Kertas berkenaan menyatakan bahawa mereka “mendapat manfaat sangat besar daripada perbincangan” dengan beberapa individu, termasuk ahli ekonomi, Profesor Li Shengwu – anak Encik Lee Hsien Yang – yang juga merupakan anak saudara Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Pada 14 September, PSD telah menyataka pihaknya sedang meneliti data dan metodologi penyelidikan dalam kertas akademik tersebut dan akan merujuk sebarang isu kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) “jika terdapat asas kukuh untuk berbuat demikian”.

PSD berkata ia memandang serius dakwaan dalam kertas tersebut, namun menambah bahawa corak statistik sahaja tidak secara bersendirian membuktikan sama ada seseorang pegawai benar-benar mempunyai akses kepada maklumat bukan awam mengenai lokasi stesen MRT pada waktu berkaitan, atau sama ada maklumat sedemikian mempengaruhi keputusan pembelian hartanah tersebut.

“Sebagai contoh, maklumat atau spekulasi mengenai laluan dan stesen MRT yang dirancang mungkin sudah pun berada dalam domain awam atau digunakan untuk memasarkan pembangunan hartanah baharu.

“Seseorang pegawai mungkin telah membeli unit di pembangunan sedemikian atas sebab yang tidak berkaitan dengan sebarang maklumat bukan awam.

“Kemungkinan ini tidak menolak keperluan untuk menjalankan penelitian, sebaliknya menegaskan sebab mengapa setiap urus niaga mesti diteliti dengan cermat sebelum sebarang kesimpulan dibuat,” jelas PSD.

PSD menegaskan ia mempunyai peraturan ketat dan benteng perlindungan sejak sekian lama bagi mencegah pegawai awam daripada menggunakan maklumat bukan awam untuk kepentingan peribadi.

Setiap pegawai awam perlu mengisytiharkan pembelian hartanah mereka, dengan terdapat kawalan akses terhadap maklumat sensitif dan juga saluran rasmi yang disediakan untuk melaporkan sebarang syak wasangka salah laku.

Pegawai yang mempunyai maklumat bukan awam yang mungkin relevan dengan cadangan urus niaga peribadi – sama ada melibatkan hartanah, kenderaan, atau instrumen kewangan – mesti membuat pengisytiharan dan mendapatkan kelulusan rasmi terlebih dahulu.

“Pemerintah berharap agar semua pegawai awam menjunjung standard integriti yang tertinggi.

“Jika terdapat asas untuk mengesyaki bahawa seseorang pegawai telah menyalahgunakan maklumat bukan awam untuk faedah peribadi, perkara tersebut akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil.

“Pada masa yang sama, kesimpulan mengenai sebarang salah laku mestilah berpandukan bukti dan fakta bagi setiap kes,” kata PSD.