Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong: Semakan gaji menteri bukan insentif bagi tarik bakat ceburi politik, pemerintah
PM Wong: Semakan gaji menteri bukan insentif bagi tarik bakat ceburi politik, pemerintah
Pemerintah ambil pendekatan berwaspada dan bertahap, pelarasan sekali sahaja hingga 9% akan dilaksanakan
PM Wong: Semakan gaji menteri bukan insentif bagi tarik bakat ceburi politik, pemerintah
Kerangka gaji pemegang jawatan politik tidak bertujuan untuk memikat atau menarik orang ramai menceburi bidang politik semata-mata dengan menggunakan wang.
Sebaliknya, ia membolehkan seseorang yang sudah pun mempunyai motivasi berkhidmat untuk tampil tanpa berdepan dengan beban kewangan yang besar, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
“Kami tidak percaya dalam menggunakan gaji yang lebih tinggi sebagai insentif untuk menarik orang ramai menceburi politik.
“Tiada sesiapa yang harus menceburi politik kerana wang. Gaji yang kompetitif tidak mewujudkan motivasi untuk berkhidmat.
“Tetapi ia boleh membolehkan seseorang yang sudah mempunyai motivasi itu untuk tampil ke hadapan,” kata Encik Wong.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan di Parlimen pada 10 September sebagai respons kepada laporan Semakan Gaji bagi Pemegang Jawatan Politik dan Anggota Parlimen (AP) yang dibentangkan di Parlimen pada 8 September.
Seramai 13 AP dan AP Dilantik (NMP) mengambil bahagian untuk menyampaikan kenyataan dan membangkit soalan, yang turut dijawab oleh Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.
Encik Wong, semasa ucapannya, turut memberikan gambaran kepada Dewan untuk mempertimbangkan calon-calon yang diharapkan untuk menyertai kepimpinan politik yang berusia dalam lingkungan 40-an tahun.
Beliau berkata dalam golongan ini, ada yang datang daripada sektor awam mahupun swasta, dan selalunya sudah membina kerjaya yang kukuh serta mempunyai komitmen kewangan tetap bagi menyara keluarga mereka.
Ini termasuk mempunyai gadai janji rumah untuk dibayar, anak-anak untuk dibiayai, ibu bapa untuk ditanggung, dan komitmen lain berdasarkan pendapatan yang mereka telah perolehi.
“Menceburi politik sudah pasti melibatkan gangguan dan pengorbanan yang besar,” kata Encik Wong.
“Kita tidak sepatutnya menuntut mereka untuk merombak sepenuhnya tanggungjawab kewangan yang telah mereka ambil secara sah untuk keluarga mereka.
“Tujuan kerangka gaji ini adalah untuk memastikan bahawa, di atas segala pengorbanan lain yang mereka buat, kita tidak menjadikan kos kewangan terlalu tinggi bagi mereka.”
Namun begitu, Encik Wong menegaskan bahawa dorongan dan sahutan untuk berkhidmat mesti sentiasa menjadi keutamaan paling utama.
Mengulas lebih lanjut mengenai pelaksanaan cadangan Jawatankuasa Semakan Bebas, beliau berkata pemerintah memilih untuk mengambil pendekatan yang berwaspada dan bertahap.
“Kita memastikan kerangka ini kekal relevan untuk masa depan, tanpa membuat pembetulan berlebihan untuk masa kini.
“Kita menangani jurang yang telah terbina selama bertahun-tahun, tetapi kita melakukannya secara beransur-ansur dan dengan penuh kesederhanaan,” kata beliau.
Bagi menteri dan pemegang jawatan politik sedia ada, beliau menekankan bahawa pelarasan sekali sahaja sehingga 9 peratus akan dilaksanakan.
Selepas itu, sebarang pelarasan gaji seterusnya akan kembali kepada proses biasa berdasarkan prestasi dan tanggungjawab individu masing-masing.
Semasa ucapannya, Encik Wong turut membentangkan gambaran jelas mengenai implikasi kewangan awam berhubung pembayaran gaji politik.
Pada masa ini, keseluruhan gaji bagi semua pemegang jawatan politik memakan kos sekitar $55 juta.
Perbelanjaan ini berbeza-beza dari tahun ke tahun, bergantung kepada jumlah pemegang jawatan yang dilantik, dinaikkan pangkat, serta jumlah Bonus Nasional yang dibayar.
Namun begitu, Encik Wong berkata bahawa sebagai satu bahagian daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), perbelanjaan gaji tersebut adalah lebih rendah hari ini berbanding 10 tahun lalu.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, keseluruhan bil gaji sebagai bahagian daripada GDP adalah stabil, dan saya berhasrat untuk mengekalkannya secara meluas pada tahap ini pada masa hadapan,” jelas beliau.
Di samping isu struktur gaji, Encik Wong turut menekankan bahawa sebagai perdana menteri, beliau bertanggungjawab atas peranan dan prestasi setiap menteri.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa pemerintah mentadbir negara sebagai satu pasukan, dan memohon agar rakyat menilai keberkesanan pemerintah secara menyeluruh.
“(Rakyat Singapura) harus menilai sama ada kita telah membuat keputusan yang betul, menangani isu-isu sukar, memperbaiki kehidupan mereka dan membawa Singapura ke hadapan.
“Jika kita gagal, rakyat Singapura boleh memilih pasukan lain untuk mentadbir. Itulah akauntabiliti terakhir dalam sistem kita,” kata Encik Wong.
“
“Kami tidak percaya dalam menggunakan gaji yang lebih tinggi sebagai insentif untuk menarik orang ramai menceburi politik. Tiada sesiapa yang harus menceburi politik kerana wang. Gaji yang kompetitif tidak mewujudkan motivasi untuk berkhidmat. Tetapi ia boleh membolehkan seseorang yang sudah mempunyai motivasi itu untuk tampil ke hadapan.”