Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NEA ambil langkah bendung bidaan tinggi sewa gerai di pusat penjaja

Nov 4, 2024 | 8:07 PM
Bermula November 2024, Agensi Sekitaran Kebangsaan(NEA) akan berusaha menurunkan kadar sewa gerai baru yang dibida pada kadar tinggi secara berperingkat
Bermula November 2024, Agensi Sekitaran Kebangsaan(NEA) akan berusaha menurunkan kadar sewa gerai baru yang dibida pada kadar tinggi secara berperingkat - Foto fail

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan memperkenalkan langkah baru bagi membendung bidaan tinggi dalam penyewaan gerai penjaja, demi mengekalkan harga makanan yang berpatutan untuk pelanggan.

Di Seminar dan Anugerah Penjaja Singapura 2024 yang diadakan di Our Tampines Hub pada 4 November, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon, mengumumkan bahawa mulai November 2024, NEA akan berusaha menurunkan kadar sewa gerai baru yang dibida pada kadar tinggi secara berperingkat.

Ia akan diselaraskan dengan Kadar Sewa Pasaran yang Dinilai (AMR) – anggaran harga sewa bagi sesebuah gerai berdasarkan keadaan pasaran semasa – secara berperingkat pada tempoh yang lebih panjang.

Langkah itu hanya akan melibatkan penjaja yang membuat bidaan untuk sebuah gerai kosong dan tidak menjejas kadar sewa penjaja sedia ada.

Sejajar dengan langkah itu, NEA akan menyediakan lebih banyak maklumat dan alat anggaran kos perniagaan dalam talian bagi membantu bakal pembida membuat anggaran kos dan hasil yang lebih tepat, seperti sebuah kalkulator dalam talian.

Usaha itu akan diperkenalkan secara berperingkat mulai 2025.

Mengulas mengenai pembaharuan ini, Dr Koh berkata ia diadakan untuk menggalak pembidaan yang lebih realistik sambil mempertimbangkan keadaan pasaran.

“Perubahan ini bertujuan menggalak bakal penjaja membuat pertimbangan semasa membuat keputusan membida, supaya dapat menghasilkan model perniagaan yang lebih mampan.

“Dalam jangka masa panjang, kami berharap ia akan memastikan bidaan yang lebih sesuai bagi sewa gerai daripada penjaja, dan membantu mereka mencapai keseimbangan antara menetapkan harga makanan berpatutan dengan mengekalkan gerai mereka,” katanya.

Sebelum ini, apabila penjaja mendapat gerai kosong melalui latihan tender gerai bulanan, harga sewa bagi gerai mereka untuk tempoh tiga tahun pertama ialah harga yang mereka bida.

Pada tahun berikutnya, penjaja akan dikenakan sewa berdasarkan AMR, termasuk bagi mereka yang memiliki kadar sewa lebih tinggi atau lebih rendah daripada AMR.

Namun, pembaruan terkini akan menyaksikan kadar sewa bagi gerai yang lebih tinggi daripada AMR akan diturunkan secara bertahap.

Selepas tiga tahun pertama, kadar sewa akan diturunkan sebanyak 50 peratus daripada perbezaan antara kadar bidaan awal dengan AMR, yang kemudian akan menjadi kadar sewa penjaja untuk tiga tahun kedua.

Setelah selesai tempoh tersebut, penjaja akan dikenakan sewa berdasarkan AMR pada tahun ketujuh penyewaan.

Dalam sebuah kenyataan NEA pada 4 November, mereka menambah bahawa AMR ditentukan oleh pakar penilaian yang meneliti faktor seperti jumlah pengunjung, saiz gerai, dan sewa gerai yang telah ditender di pusat penjaja serta dasar pemerintah.

Isu harga sewa gerai telah menarik perhatian sejak notis tender pada Julai 2024 mencatatkan bidaan kedua tertinggi sebanyak $10,158 untuk gerai di Pasar dan Pusat Penjaja Marine Parade Central, selepas bidaan tertinggi sebanyak $10,680 ditarik balik.

Ini merupakan peningkatan daripada 2023, yang menyaksikan sebuah gerai di Pusat Makanan Newton mencatatkan bidaan sebanyak $6,810.

Walaupun jumlah bidaan ini tinggi, NEA menjelaskan bahawa ia bukanlah perkara biasa dengan kadar median sewa bulanan gerai makanan tanpa subsidi di pusat penjaja ialah sekitar $1,200 setiap bulan, manakala gerai pasar ialah sekitar $320 sejak 2019.

Dr Koh menegaskan bahawa peratusan kecil boleh menjadi agak tinggi, terutamanya pada pusat penjaja yang terkenal.

Beliau menambah: “Walaupun bilangan bidaan sedemikian adalah sangat kecil, kami mahu mengelak bidaan setinggi itu menjadi kebiasaan pada masa hadapan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg